Perlis pelawa pelabur ternak ayam berskala besar - Utusan Malaysia

Perlis pelawa pelabur ternak ayam berskala besar

AZIZAN SULAIMAN (kiri) bersama Norazah Jaapar (tengah) pada majlis Pra Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di pasar raya The Store, Kompleks Kayangan Square di Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Kerajaan negeri mempelawa pelabur untuk mengusahakan penternakan ayam berskala besar di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Azizan Sulaiman berkata, langkah tersebut sebagai salah satu inisiatif meningkatkan penawaran ayam dan dalam masa sama mengatasi masalah kenaikan harga ayam berikutan kekurangan bahan mentah itu di pasaran.

Katanya, kerajaan negeri sedia menyediakan tanah untuk projek tersebut yang telah pun dikenal pasti di Kawasan Industri Lembah Chuping (CVIA).

“Sebelum ini, sudah ada pihak yang berminat untuk melabur dalam projek terbabit, namun telah menarik diri kerana berdepan masalah modal. Jika ladang penternakan ini dapat dibangunkan maka kita boleh anggap masalah harga ayam ini sudah selesai kerana sudah ada reban yang besar. 

“Soal tanah tak perlu risau kerana kerajaan negeri boleh sediakan. Tanah yang kerajaan sediakan itu memang cukup. Cuma pihak yang berminat sebelum ini ada kekangan daripada segi pelaburan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pra Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di pasar raya The Store di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Perlis, Norazah Jaapar dan Pengurus Kanan The Store (Malaysia) Sdn. Bhd., Khor Sue Liang.

Sementara itu, beliau memberitahu, harga ayam di negeri kekal stabil antara RM8.50 hingga RM8.80 sekilogram pada minggu ini.

Bagaimanapun, katanya, harga tersebut meningkat sedikit berbanding bulan lalu iaitu pada sekitar RM8.10 sekilogram.

“Bagaimanapun, pihak PPDNHEP tidak ada menerima sebarang aduan daripada pengguna berkaitan kenaikkan harga ayam sehingga kini,” katanya.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN