Perkhidmatan feri Kuala Perlis ke Langkawi ditambah - Utusan Malaysia

Perkhidmatan feri Kuala Perlis ke Langkawi ditambah

PERKHIDMATAN feri dari Kuala Perlis ke Langkawi akan ditambah kepada dua perjalanan setiap hari bermula 16 September ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Perkhidmatan feri di Kuala Perlis, Perlis ke Langkawi akan ditambah kepada dua perjalanan setiap hari bermula 16 September ini ekoran pengumuman prosedur operasi standard (SOP) berkaitan gelembung pelancongan ke pulau itu hari ini. 

Menurut Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Baharin Baharom, perkhidmatan feri di Terminal Kuala Kedah di sini pula hanya akan dibuka selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu tamat.

“Alhamdulillah, pada 16 September ini Langkawi akan kembali dibuka dan menyedari keperluan itu kita akan menambah perjalanan dari Kuala Perlis ke pulau itu menjadikan ia dua trip setiap hari iaitu pagi dan petang berbanding satu trip sahaja sebelum ini.

“Sementara Terminal Feri Kuala Kedah pula akan dibuka sebaik sahaja PKPD di situ tamat dijangka 19 September ini,” katanya di sini hari ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Nancy Shukri hari ini mengumumkan  pulau peranginan itu boleh mula dikunjungi pelancong domestik yang memenuhi kriteria prosedur operasi standard (SOP) dari seluruh negara, termasuk dari negeri yang berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut Baharin, penguatkuasaan SOP akan dilaksanakan dengan ketat ke atas setiap penumpang termasuk memeriksa sijil vaksinasi mereka yang lengkap dua dos.

“Penumpang perlu menunjukkan sijil vaksinasi  yang lengkap dua dos suntikan ketika membuat pembelian tiket di kaunter dan ketika memasuki balai pelepasan sebelum dibenarkan memasuki feri,” katanya.

Katanya, jumlah kapasiti penumpang pada satu-satu masa hanya 50 peratus dibenarkan daripada jumlah keseluruhan tempat duduk dalam feri.

“Kita menasihatkan semua penumpang supaya mematuhi arahan daripada kru sepanjang perjalanan,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu, orang ramai yang ingin membeli tiket feri itu boleh membuat tempahan secara dalam talian di www.cuticutilangkawi.com.

“Tempahan kini dibuka dan mereka boleh menyemak jadual perjalanan melalui laman web berkenaan dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya