Penjualan tanah Istana Raja Muda dikaji semula - Utusan Malaysia

Penjualan tanah Istana Raja Muda dikaji semula

SAARANI Mohamad (tengah) meninjau lokasi runtuhan jalan di laluan Persekutuan FT185 Jalan Simpang Pulai ke Blue Valley, Cameron Highlands hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penjualan secara tender terbuka kawasan yang menempatkan sebuah istana lama dikenali Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar di Teluk Intan akan dibawa semula ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN).

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad memberitahu, keputusan untuk menjual tanah di kawasan berkenaan telah diputuskan kepimpinan kerajaan negeri terdahulu.

Katanya, perkara itu juga telah dimaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi untuk dikaji semula.

“Saya akan bawa semula perkara itu di dalam mesyuarat Exco pada Rabu ini untuk kita lihat kembali kerana ia adalah keputusan Exco yang dibuat pada tahun lalu untuk kita tender tanah berkenaan.

“Saya telah maklumkan kepada Datuk Nolee Ashilin untuk lihat dan bincang semula perkara ini setelah mendapat beberapa bantahan dan pandangan mengenai kawasan bersejarah yang perlu kita pelihara,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau runtuhan jalan di laluan FT185, Kilometer 43.9 Jalan Simpang Pulai ke Blue Valley, Cameron Highlands di sini hari ini.

Menurut beliau, sebarang keputusan mengenai jualan kawasan bersejarah itu akan diputuskan dalam mesyuarat berkenaan.

“Setakat ini belum ada keputusan dan tender itu pun baru dibuka. Apa pun keputusan perlu dibuat dalam mesyuarat Exco kerana ia adalah keputusan pimpinan kerajaan negeri,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini menyiarkan laporan kawasan bangunan istana lama yang berkeluasan dua hektar itu dibuka untuk jualan secara bidaan terbuka.

Kawasan yang dianggap sebagai warisan sejarah Kesultanan Perak itu dikatakan mempunyai nilai tinggi untuk pembangunan projek komersial dan bangunan bercampur.

Bagaimanapun, ura-ura itu mendapat reaksi negatif pelbagai pihak khususnya ahli sejarah yang menyifatkan tinggalan warisan tersebut sewajarnya terus dikekalkan dan dipulihara. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya