JOHOR BAHRU: Seramai 102 penduduk daripada 25 buah keluarga di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, diarah berpindah ekoran pencemaran bau yang berlaku di kampung tersebut, malam tadi.
Malah, dua wanita mengalami simptom sesak nafas selepas dipercayai terhidu bau kuat seperti pencemaran bahan kimia dalam kejadian itu.
Ketua Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Johor, Penolong Kanan Penguasa Bomba Saiful Bahri Safar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.22 malam sebelum pasukan pertama tiba 15 minit kemudian.
“Dua mangsa masing-masing berusia 20-an dan 40-an telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) kerana sesak nafas.
“Pada peringkat awal, kita meminta lima buah rumah yang berada pada jarak 150 meter dari sungai dikosongkan dan sehingga kini jumlah yang dipindahkan adalah seramai 102 orang yang ditempatkan di Balai Raya Kampung Sinaran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut Saiful Bahri, anggota Hazmat telah membuat kerja-kerja detection, isolation dan damping di sungai berdekatan dan didapati terdapat tumpahan cecair pepejal yang berada di kawasan itu.
“Hasil ujian awal, disyaki tumpahan itu adalah melibatkan bahan methyl alcohol iaitu sejenis bahan buangan berjadual dengan kepekatan 120 ppm.
“Buat masa ini, kita cuba mengawal kawasan ini dan terus mengesan dengan cara menyusuri anak sungai untuk mencari punca tumpahan ini bermula,” ujarnya.
Operasi berkenaan melibatkan seramai 24 anggota dengan lima jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas, BBP Larkin dan BBP Johor Jaya.
Sementara itu, kerja pengesanan tumpahan masih diteruskan dengan bantuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Hazmat Melaka. -UTUSAN ONLINE