Penangan PKP, laman rumah jadi taman bunga - Utusan Malaysia

Penangan PKP, laman rumah jadi taman bunga

MASHAZINI Sidek bersama koleksi bunga kertas yang menghias laman rumahnya di Kampung Air Tawar Semerak, Pasir Puteh. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Hobi guru yang ‘gila’ menanam pokok bunga kertas ketika mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berbaloi kerana laman rumahnya di Kampung Air Tawar, Semerak, di sini kini berseri bak taman bunga.

Guru tersebut, Mashazini Sidek, 38, memberitahu Utusan Malaysia, dia mula menanam pokok bunga spesies Bougainvillea itu kira-kira setahun lalu, gara-gara bosan kerana terlalu lama duduk terperap di rumah akibat PKP.

“Di awal PKP, saya beli lima anak pokok bunga kertas dan tanamnya di laman rumah. Lama-kelamaan, jumlahnya bertambah dan sekarang, sudah ada lebih 100 pokok bunga kertas pelbagai warna di laman rumah saya.

“Hobi ini dibuat pada waktu senggang dan sebelah malam supaya tugas hakiki sebagai pendidik menggunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak terganggu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini semalam.

Kata Mashazini, harga pasaran anak benih bunga kertas kini antara RM10 hingga RM50 bergantung kepada saiz dan jenisnya.

Malah katanya, ada yang harganya mencecah ribuan ringgit sekiranya pokok itu sudah lanjut usia atau pun telah ‘dinaik taraf’ menjadi tanaman bonsai atau dalam bentuk topiari.

“Semua koleksi pokok bunga kertas saya bagaimanapun tidak melibatkan kos mahal kerana berasal dari sisa bahagian yang dipangkas dari pokok induk sebelum ditanam semula.

“Kebanyakannya saya dapat percuma ketika membersihkan laman rumah orang. Kalau dibeli, beratus ringgit juga,” katanya yang menggunakan kaedah kacukan tunas dan sendeng bagi menggabungkan pelbagai warna bunga pada satu pokok.

Akui Mashazini, ramai berminat untuk membeli pokok yang tumbuh subur di lamannya itu, namun dia belum bersedia menjual pokok-pokok tersebut yang sudah dianggap nostalgia kepada dirinya ketika menempuh musim pandemik Covid-19.

“Tapi ada juga yang datang ke rumah merayu-rayu mahu beli, sehingga saya tidak sampai hati lalu lepaskan juga pokok yang kecil-kecil. Saya beri percuma sahaja,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya