KUALA LUMPUR: Tidak timbul isu pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana telah banyak kali pemilihan parti itu diadakan selepas pilihan raya umum.
Justeru, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO berpegang pada tarikh pemilihan yang boleh diadakan sehingga Disember 2022 seperti yang dimuktamad Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
“Kami ada masa hingga 29 Disember 2022. Jadi belum ada lagi tarikh yang ditetapkan.
“Dah banyak penggal pemilihan lepas PRU. Cuba google. Kami lebih tahu urusan parti,” katanya menerusi aplikasi Whatsapp kepada Utusan Malaysia, semalam.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, pemilihan UMNO yang masih ditangguhkan wajar dilaksanakan pada suku pertama tahun depan sebelum PRU ke-15.
Pengamal undang-undang, Datuk Adnan Seman berkata, ia bertujuan mewujudkan kestabilan politik sekurang-kurangnya sehingga tempoh 10 bulan lagi.
Atas sebab itu, beliau berpandangan pemilihan UMNO wajar dilaksanakan pada suku pertama sekitar Januari hingga Mac tahun depan bagi peringkat cawangan, manakala peringkat bahagian dan Pusat pula pada suku kedua 2022. -UTUSAN