PETALING JAYA: Penganalisis pendidikan, Dr. Anuar Ahmad menyifatkan persediaan pembukaan sekolah masih lagi kabur kerana masyarakat khususnya ibu bapa masih tertanya-tanya.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan sepatutnya bersedia dengan satu cadangan pelan pembukaan sekolah yang lebih meyakinkan, menyeluruh, bersasar dan telah mendapat maklum balas ibubapa, guru-guru, ahli-ahli pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan berbanding pada April lepas.
Katanya, ini berikutan masih belum jelas lagi apakah pelan pembukaan sekolah yang bakal dilaksanakan oleh KPM kerana hanya tinggal tiga minggu lagi sebelum pembukaan sekolah.
“Pengalaman yang lepas, menunjukkan Kementerian Pendidikan mengumumkan keputusan seminggu sebelum sekolah dibuka dan ini menyebabkan ibu bapa dalam keadaan tergesa-gesa membuka persiapan.
“Setakat 30 Ogos, kementerian hanya mengumumkan pelaksanaan program KPM PERKASAKU yang hanya memberikan maklumat tentang pelaksanaan PdP antara September 2021 hingga Februari 2022.
“Sepatutnya (diumum) pelan pembukaan sekolah, dan bukan hanya tertumpu kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) untuk menghabiskan silibus semata mata seperti yang terkandung di dalam program itu.
Terdahulu, Kementerian KPM menetapkan pembukaan sekolah dianjakkan ke 3 Oktober ini berbanding perancangan asal pada 1 September lepas setelah mengambil kira keadaan pandemik semasa.
Menurut Dr. Anuar, pelan pembukaan sekolah harus mengambil kira keperluan lain yang antaranya isu kesihatan mental iaitu kemurungan, kesedihan dan stress di kalangan murid-murid.
“Setakat ini tiada program dalam pelan pembukaan sekolah untuk kembalikan semangat, keseronokan dan inisiatif untuk kukuhkan kembali semangat dan psikologi murid-murid.
“Sepatutnya KPM adakan ‘minggu penyesuaian pembelajaran’ untuk dua minggu pertama persekolahan 3 Oktober nanti,” katanya.
Jelasnya, isu kebajikan murid-murid yang kehilangan ibubapa-penjaga akibat Covid-19 dan murid-murid dari keluarga miskin tegar yang terjejas kehidupan akibat wabak perlu juga diambil kira.
“Isu nutrisi dan pemakanan yang menggugat tumbesaran murid-murid kerana murid-murid sangat memerlukan program makanan tambahan yang terancang di sekolah untuk kembalikan keseimbangan tumbesaran.
“Malah, menyediakan alternatif sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang bersifat inklusif dan berkesan bagi kumpulan murid-murid yang masih tidak dibenarkan oleh ibu bapa mereka untuk ke sekolah kerana bimbang jangkitan Covid-19.
Tambah beliau, pelan pembukaan sekolah sepatutnya lebih menyeluruh dan mempunyai agenda yang mencakupi keseluruhan latar belakang murid-murid di berbagai lokaliti dan tahap ekonomi.
“Pelan pembukaan sekolah mestilah berkonsepkan desentralisasi pentadbiran dan membuka keputusan dan mengambil kira kumpulan murid-murid yang rentan pendidikan.
“Seperti murid-murid tahun satu hingga tahun tiga sekolah rendah untuk menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira), kumpulan murid-murid yang tertinggal pendidikan mereka di sekolah kawasan pedalaman dan kumpulan murid-murid Orang Kurang Upaya (OKU).
“Soalannya, dengan hanya ada tiga minggu lagi sebelum sekolah mula dibuat, apakah Kementerian Pendidikan telah bersedia?,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE