Pemandu lori rempuh lima kereta termasuk Myvi didakwa memandu di bawah pengaruh dadah - Utusan Malaysia

Pemandu lori rempuh lima kereta termasuk Myvi didakwa memandu di bawah pengaruh dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah sehingga merempuh lima kenderaan termasuk kereta Perodua Myvi, di Jalan Ipoh, Isnin lalu.

Video kejadian rempuhan yang menyebabkan Perodua Myvi itu remuk teruk kemudian tular di laman sosial.

Tertuduh Ardi Latif, 25, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar.

Mengikut pertuduhan, Ardi didakwa memandu lori di bawah pengaruh dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine di mana tertuduh tidak berdaya mengawal kenderaan tersebut dan menyebabkan kecederaan kepada pemandu kereta, Nik Adlee Saha Nik Ahmad Fauzi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Segambut Utara menghala ke Jalan Ipoh di sini pukul 2.40 petang pada 6 September lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan 2020) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang tujuh tahun dan maksimum 10 dan denda tidak kurang RM30,000 dan maksimum RM50,000 dan hilang kelayakan memandu untuk tempoh tidak kurang tujuh tahun dari tarikh disabitkan kesalahan.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd. Rauf.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 berserta syarat tambahan lesen memandu tertuduh ditahan sehingga pelupusan kes.

Tarikh 11 November ini ditetapkan sebutan kes.

Dalam kejadian 6 September lalu, lori yang dipandu laju oleh lelaki tersebut hilang kawalan sebelum merempuh dua Perodua Myvi, Proton X70, Honda HRV dan Peugeot 208 FL yang berhenti di lampu isyarat merah di Jalan Ipoh, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang, rempuhan itu mengakibatkan seorang pemandu Perodua Myvi berusia 45 tahun cedera ringan pada bahagian muka dan ditempatkan di zon hijau, Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

Pemandu kenderaan lain sudah menerima rawatan dan tiada kecederaan serius dilaporkan.

Pada masa sama, polis turut mengesahkan pemandu lori berkenaan positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamin hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya