LUMUT: Seorang pemancing warga emas berdepan detik cemas apabila bot dinaiki tersangkut pada rantai sauh sebuah kapal dagang sebelum terbalik dekat Pulau Tukun di sini pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi itu, lelaki berusia 66 tahun itu terjatuh ke dalam laut sebelum disedari kru kapal dagang MV Nenita yang berlabuh pada kedudukan 2.2 batu nautika barat Pulau Tukun tersebut.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, kru kapal dagang itu kemudian menekan butang kecemasan yang diterima oleh pesawat udara Maritim yang sedang melaksanakan rondaan Op Benteng di sekitar kawasan tersebut.
“Berikutan itu juga, Pusat Operasi Maritim Perak telah mengatur gerak bot Kilat 11 ke lokasi kejadian sebagai aset bantuan.
“Kru kapal MV Nenita pula menurunkan bot keselamatan (Life Boat) bagi membantu mangsa sementara menunggu bantuan dari bot ronda pasukan kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Shahrizan, bot Kilat 11 mengambil masa 30 minit untuk tiba di lokasi dan mendapati mangsa telah diselamatkan dan berusaha mengapungkan untuk kembali botnya.
Beliau menjelaskan mangsa dikatakan memakai jaket keselamatan semasa kejadian dan telah selamat tiba di Jeti Pulau Pangkor pada pukul 2.45 petang semalam.
Justeru, Shahrizan menegaskan Maritim Malaysia amat menitik berat pemakaian jaket keselamatan ketika di laut kepada komuniti maritim agar dapat menghindari sebarang risiko bencana di samudera.
Maritim Perak meminta orang ramai untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Perak di talian 056838737. – UTUSAN ONLINE