Pantai Teluk Batik kekal bersih - Utusan Malaysia

Pantai Teluk Batik kekal bersih

KEADAAN pantai Teluk Batik yang bersih tanpa sampah walaupun mula dikunjungi pelancong ketika tinjauan di Lumut hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT:  Pantai Teluk Batik di sini kelihatan bersih daripada sampah sarap walaupun orang ramai mengambil kesempatan daripada cuti persekolahan sekarang untuk mandi-manda serta membawa makanan untuk berkelah bersama keluarga di situ.

 

Tinjauan mendapati hanya sampah kecil seperti puntung rokok, penyedut minuman dan cebisan tisu  dibuang oleh pengunjung di atas tanah di kawasan tempat duduk konkrit yang disediakan di kawasan peranginan itu.

 

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung  (MPM), Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, masalah sampah kecil seperti puntung rokok dan yang lain adalah disebabkan sikap pengunjung yang tidak bertanggungjawab.

 

“Kami berusaha sehabis baik untuk memastikan pantai sentiasa bersih,  malangnya sikap masyarakat kita sangat menyedihkan,” katanya ketika dihubungi.

 

Menurut Syamsul Hazeman, pihaknya sentiasa komited dengan kebersihan di pantai tersebut dengan memastikan jadual pembersihan sentiasa dilakukan tanpa gagal walaupun ketika kawasan itu ditutup kepada pengunjung sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

 Jelasnya, MPM juga memperkenalkan konsep ‘bawa pulang sampah anda’ yang bukan hendak menyusahkan pengunjung tetapi mahu mendidik orang ramai bahawa menjaga kebersihan pantai adalah tanggungjawab bersama. 

 

Beliau juga memberitahu buat masa sekarang jumlah pengunjung adalah terkawal kerana hanya penduduk Perak sahaja boleh melancong ke situ, sekali gus isu kebersihan dan penjarakan sosial tidak menjadi isu.

 

“Sekiranya keadaan memerlukan, baru kita pertimbangkan untuk mengehadkan kemasukan pengunjung untuk mengelakkan kesesakan. 

 

“Buat masa sekarang tidak perlu lagi (hadkan jumlah pengunjung) kerana pantai dan kawasan kita masih luas,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN