Naik taraf perparitan elak banjir berulang - Utusan Malaysia

Naik taraf perparitan elak banjir berulang

RODZIAH Ismail (tiga dari kiri) sedang melihat penduduk sedang membersihkan rumah masing-masing selepas air banjir surut di Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga di Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penambahbaikan sistem perparitan di Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga di sini seperti diperdalamkan dan diperluaskan bagi memastikan dapat menampung limpahan air akibat hujan lebat supaya kejadian banjir kilat tidak berulang.

 

Kejadian banjir berkenaan dikatakan bukan kali pertama berlaku, sebaliknya bencana itu pernah melanda kampung terbabit pada 2006 sehingga menyebabkan rumah penduduk di sana hanya nampak bumbung.

 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail, beliau memaklumkan kepada pihak berwajib untuk meneliti semula keadaan perparitan sedia ada dan menaik tarafnya kepada longkang jenis monsun supaya dapat menampung limpahan air terutama dari Sungai Damansara.

 

“Sehingga kini, belum ada projek menaiktaraf longkang sedia ada kepada longkang monsun yang mampu menampung air yang melimpah akibat hujan lebat. Projek menaik taraf longkang di sepanjang jalan besar juga perlu dilakukan.

 

“Sistem perparitan di Kampung Kebun Bunga  misalnya saya dapati mampu menampung air dari kawasan setempat,” katanya selepas melawat mangsa banjir semalam.

 

Beliau menambah, apabila berlaku limpahan air dari luar seperti daripada Sungai Damansara akibat hujan lebat, sistem perparitan sedia ada gagal menampung limpahan air ditambah pula dengan hujan lebat berterusan lebih enam jam sejak pukul 4 petang semalam.

 

Jelasnya lagi, satu kaedah perlu dikenal pasti untuk pihak berkuasa untuk membina sistem penampan bagi mengelak banjir kilat yang melibatkan 300 rumah dan 1,000 penduduk di kampung tersebut daripada terus berulang.

 

Dalam pada itu, Rodziah meminta laporan daripada Ketua Kampung, Johari Mohd. Shaari mengenai penduduk terjejas bagi memastikan bentuk bantuan dan peruntukan yang dapat disalurkan bagi membantu mereka.

 

“Kerosakan yang melibatkan surau juga akan dibanci oleh Ketua Kampung sebelum kita mengambil tindakan selanjutnya.

 

“Untuk penyelesaian jangka pendek, pihaknya telah berhubung dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling bagi mencari penyelesaian bagaimana air yang melimpah masuk ke sistem saliran dapat dikeluarkan dengan sistematik,” ujarnya.

 

Semalam beberapa kawasan di Shah Alam seperti di Taman Sri Muda, Seksyen 25; Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 dan kawasan rumah termasuk Stadium Malawati, Seksyen 13 digenangi air akibat hujan lebat pada petang semalam.

 

Malah, dalam masa sama situasi banjir dilaporkan turut berlaku di Meru melibatkan beberapa buah kampung sepanjang Jalan Paip dari Kampung Budiman sehingga pekan Meru turut digenangi air dipercayai akibat limpahan air dari anak sungai berhampiran.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya