Mini makmal dibongkar, dadah bernilai RM438,036 dirampas - Utusan Malaysia

Mini makmal dibongkar, dadah bernilai RM438,036 dirampas

maut
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Satu makmal dadah berjaya dibongkarkan dalam Op Bersepadu bermula kelmarin hingga semalam membabitkan rampasan serta sitaan bernilai RM438,036.

Serbuan itu dilakukan menerusi satu operasi terancang antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik,  Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sentul turut menahan dua lelaki termasuk dalang utama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd Latif berkata, sindiket terbabit memproses dan mengedar dadah yang menjadikan Lembah Klang sebagai kawasan pengedaran.

SAHAR ABD. LATIF

Kata beliau, dalam serbuan pertama dua lelaki berusia 46 dan 53 tahun telah ditahan di sebuah  di Metro Prima, Taman Kepong, kira-kira pukul 2 petang kelmarin.

Jelas beliau, kedua-dua suspek berperanan sebagai penghantar dan individu yang terlibat pemproses dadah.

“Ketika serbuan, salah seorang suspek sedang menolak troli berisi dadah yang disyaki heroin seberat 1,368 gram bernilai RM 47,880.

“Pemeriksaan ke atas seorang lagi suspek menjumpai pil ecstasy sebanyak tiga biji (RM45).

“Pemeriksaan ke atas Mercedes Benz suspek turut menemukan 91 pil ecstasy bernilai RM1,365 yang disembunyikan di dalam pembesar suara di bahagian but,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Sahar, turut dirampas wang tunai berjumlah RM201 sementara ujian saringan awal turut mendapati seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine dan AMP serta mempunyai 10 rekod jenayah lampau.

Kata beliau, satu lagi serbuan dilakukan sebuah rumah dua tingkat di Jalan Permatang Maju 2/1 Aman, Permatang Maju, Setiawan, Perak kira-kira pukul 12.10 tengah malam.

“Dalam serbuan itu, polis berjaya membongkar satu makmal yang digunakan oleh sindiket untuk memproses dadah disyaki jenis heroin.

“Siasatan awal polis mendapati rumah itu disewa dengan harga RM600 sebulan sejak enam bulan lalu,” jelasnya.

Tambah Sahar, dalam serbuan itu polis merampas dadah MDMA seberat 1,271 gram, heroin (45 gram), serbuk putih disyaki dadah (8,829 gram), cecair kimia dan peralatan memproses dadah.

“Suspek direman seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

“Dengan kejayaan tangkapan itu, polis berjaya menumpaskan kegiatan memproses dan mengedar dadah yang bergiat aktif kira-kira enam bulan lalu yang menyasarkan kawasan Lembah Klang dan Perak,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya