BEAUFORT: Mayat mangsa bot karam yang dihanyutkan arus pada Rabu ditemukan di Kampung Saliwangan Batu 64, dekat sini pagi tadi.
Mangsa, Joseph Sayah, 55, merupakan mangsa kedua ditemukan lemas dalam kejadian bot karam di Kampung Kalandos, Pangi, Tenom.
Pada Khamis, mangsa bersama seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dihanyutkan arus deras apabila bot yang dinaiki karam semasa dalam perjalanan pulang dari Pekan Tenom.
Timbalan Pengarah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan berkata, mayat mangsa ditemukan oleh orang awam pada pukul 7.52 pagi tadi, kira-kira 37 kilometer dari lokasi bot mangsa dilaporkan karam.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati seorang mangsa lemas tersangkut di tebing sungai. Pasukan bomba kemudian mengeluarkan dan mengangkat mangsa menggunakan pengusung,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Jelas beliau, proses pengecaman oleh keluarga mangsa di Unit Forensik hospital daerah mengesahkan mayat itu merupakan mangsa bot karam di Kampung Kalandos, Pangi, Tenom.
Pada Khamis, mayat Melvin Junaidi,12, ditemukan oleh orang awam di Batu 60, Beaufort.
Dalam kejadian pada pukul 4.13 petang Rabu, dua mangsa dilaporkan hanyut dibawa arus apabila bot yang mereka naiki terbalik semasa menghampiri tebing Sungai Padas berhampiran Kampung Kalandos, Pangi.
Semasa kejadian, kedua-dua mangsa bersama dua individu lain yang terselamat dalam perjalanan pulang daripada membeli barang keperluan di Pekan Tenom sebelum bot mereka naiki terbalik dan dihanyutkan arus. -UTUSAN ONLINE