PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan dua bot nelayan Vietnam yang mencuri hasil laut di lokasi 172.2 kilometer dan 176 kilometer dari muara Tok Bali, di sini kelmarin.
Dalam Op Naga Barat dan Op Kuda Laut dilakukan Kapal Maritim Tok Bali, masing-masing pada pukul 9.31 pagi dan 10.21 itu, seramai 17 awak-awak dan dua tekong berusia 18 hingga 60 tahun ditahan.
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, kedua-dua bot itu menggunakan pendaftaran bot nelayan tempatan untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
Namun, katanya, taktik mereka tidak menjadi kerana ciri bot-bot tersebut didapati berbeza berbanding bot tempatan.
“Bot pertama ditahan pada pukul 9.31 pagi bersama tujuh awak-awak dan seorang tekong manakala bot kedua ditahan pada pukul 10.21 pagi bersama 10 awak-awak dan seorang tekong.
“Kedua-dua bot memecut laju ke arah sempadan perairan Vietnam namun berjaya dikejar dan dihadang untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Pangkalan Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali, di sini hari ini.
Syed Nor Adli berkata, hanya 11 individu terbabit mempunyai dokumen perjalanan sama ada pasport atau buku pelaut manakala selebihnya gagal mengemukakan pengenalan diri.
“Pemeriksaan lanjut mendapati bot pertama hanya menyimpan 50 kilogram sotong manakala bot kedua tiada sebarang hasil tangkapan kecuali baki minyak diesel yang dianggarkan sebanyak 9,500 liter.
“Semasa dalam perjalanan salah satu bot mengalami kerosakan dan terpaksa ditunda selama lebih 26 jam sebelum tiba di pangkalan Maritim Malaysia Kelantan. Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan sebanyak RM2.5 juta,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran dan Seksyen 16(3) akta sama kerana tidak memaklumkan ketibaan di perairan negara kepada pihak berkuasa bagi pemilik pasport dan buku pelaut. -UTUSAN ONLINE