KOTA KINABALU: Empat sekeluarga yang rentung dalam kejadian kebakaran di Taman Hungab, Penampang pagi tadi dipercayai gagal membuka kunci mangga pada jeriji besi tingkap rumah bagi menyelamatkan diri.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Md. Ali Ismail berkata, berdasarkan penemuan mayat mangsa, kesemua mangsa sedar kebakaran berlaku dan mereka cuba untuk keluar melalui tingkap bilik namun, jeriji itu dikunci dengan mangga.
“Mungkin dalam keadaan cemas, mereka lupa dimana hendak mengambil kunci bagi membuka jeriji tersebut.
“Semasa mayat dijumpai, tiga mangsa ditemui di dalam sebuah bilik manakala, seorang lagi ditemukan dalam bilik air berhampiran bilik berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, pasukan bomba cuba menyelamatkan mangsa namun, rumah sudah terbakar hampir separuh semasa ketibaan bomba. Jika panggilan itu lebih awal mungkin, mangsa sempat diselamatkan.
Justeru itu, Md Ali menasihatkan orang ramai mematuhi semua spesifikasi keselamatan yang sudah ditetapkan termasuk memasang jeriji yang boleh dibuka tanpa menggunakan kunci mangga.
Apabila kebakaran berlaku, biasanya orang akan cemas dan terlupa di mana mereka meletakkan kunci jeriji. Jadi, lebih baik jangan mengunci jeriji tingkap dengan mangga dan pastikan jeriji itu mudah dibuka sekiranya berlaku kes-kes kecemasan.
Dalam kejadian kebakaran kira-kira pukul 2.52 pagi itu, empat sekeluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan dua anak lelaki mereka ditemukan rentung dalam sebuah rumah teres dua tingkat.
Keempat-empat mangsa dikenali sebagai Matthew Wong,50; Jecky Vun Kon Fung,48; Brendan Wong,18, dan Eric Wong, 15.- UTUSAN ONLINE