KUALA LUMPUR : Malaysia akan menjadi negara neutral karbon seawal-awalnya pada tahun 2050.
Bagi menyokong usaha ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, instrumen ekonomi seperti carbon pricing dan cukai karbon akan diperkenalkan.
Jelas beliau, perincian langkah-langkah lain bagi pengurangan karbon akan diumumkan setelah kajian strategi pembangunan jangka panjang rendah karbon dimuktamadkan pada akhir tahun 2022.
“Bagi tujuan ini, kerajaan telah memberi komitmen untuk tidak lagi membina loji janakuasa arang batu yang baharu.
“Saya sedar ini memerlukan usaha yang bersepadu serta komitmen dan pelaburan hijau yang tinggi. Namun, saya yakin dengan penglibatan Keluarga Malaysia, aspirasi ini bukanlah angan-angan kosong. Komitmen ini akan memastikan Malaysia seiring dengan usaha negara lain untuk mencapai matlamat global dalam menangani perubahan iklim dan meningkatkan daya saing negara,” ujarnya.
Dalam usaha kerajaan untuk mencapai matlamat pembangunan mampan, Ismail Sabri berkata, pertubuhan masyarakat sivil atau CSO akan diiktiraf sebagai rakan pembangunan.
Bagi tujuan ini, peranan CSO akan diinstitusikan dalam pelbagai mekanisme tadbir urus, terutama dalam pelaksanaan dan pemantauan program pembangunan pada peringkat akar umbi bagi mencapai Agenda 2030.
“Dasar Tenaga Negara yang komprehensif akan diperkenalkan untuk menyediakan hala tuju strategik jangka panjang bagi menyokong aspirasi negara neutral karbon. Penjanaan elektrik yang lebih bersih akan dilaksana melalui pengoperasian beberapa loji janakuasa gas di Semenanjung Malaysia bagi menggantikan loji janakuasa arang batu,” jelasnya.
Mengulas lanjut, akta berkaitan kecekapan dan konservasi tenaga akan diperkenalkan bagi mengawal selia penggunaan tenaga oleh pengguna berintensiti tinggi dalam sektor industri dan komersial.
“Penjanaan tenaga boleh baharu daripada solar, biojisim dan biogas disasarkan meningkat kepada 31 peratus daripada jumlah kapasiti terpasang pada tahun 2025.
“Model ekonomi kitaran akan dilaksana di bawah RMKe-12 bagi mengurangkan pencemaran, penjanaan sisa dan kebergantungan kepada sumber asli. Konsep tanggungjawab pengeluar akan dipergiat bagi meningkatkan pelaksanaan penggunaan dan pengeluaran mampan.
Di samping itu, pelaburan hijau akan terus digalakkan, termasuk untuk projek di bawah pendekatan kerjasama awam dan swasta serta GLC,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE