BALING: Sebuah keluarga terkejut apabila sebuah lori yang dipenuhi muatan batu tiba-tiba merempuh pagar batu rumah mereka di Kampung Bawah Gunung di sini hari ini.
Aishah Masri, 29, berkata, ketika kejadian pukul 10 pagi itu, dia sedang mendandan seorang pengantin perempuan untuk majlis akad nikah terkejut apabila secara tiba-tiba terdengar seperti gempa bumi di hadapan rumahnya.
“Saya segera berlari keluar dan mendapati sebuah lori batu telah merempuh dinding pagar batu di halaman rumah.
“Mujur tiada sesiapa di halaman rumah yang kebiasaannya ketika itu anak saudara, Adam Daniel Mohd Fauzi, 10, bermain di halaman rumah bersama rakan-rakannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di di Kampung Bawah Gunung di sini hari ini.
Katanya lagi, ketika kejadian hujan lebat dan mereka sekeluarga berada di dalam rumah dan kejadian ini merupakan kali ke dua berlaku.
Sementara itu, seorang penduduk kampung, Azmi Sulaiman, 55, yang kebetulan berada di luar rumahnya berkata, dia terdengar seperti bunyi pam brek lori pecah dari arah kuari batu kira-kira 500 meter jarak dari rumahnya.
“Saya kemudian melihat sebuah lori batu sedang menuruni bukit berada dalam keadaan tidak stabil dan meluncur laju ke arah jalan raya.
“Lori itu kemudian terbabas dan merempuh pasar batu rumah berhampiran,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya lagi, pemandu dan kelidan lori itu berjaya menyelamatkan diri dengan terjun sebelum lorinya terbabas.
“Ini merupakan kejadian ke dua lori merempuh pagar rumah yang sama selepas mengalami masalah brek ketika menuruni bukit dari tempat kuari batu itu.” katanya. -UTUSAN ONLINE