BACHOK: Ke mana sahaja dia pergi termasuk tandas, oxygen concentrator iaitu sejenis mesin bantuan oksigen wajib diusung bersama. Suka atau tidak, mesin itu sudah menjadi ‘talian hayat’ membolehkan dia bernafas seperti biasa.
Azhar Mahmud, 54, mula hidup bersama mesin tersebut sejak lima tahun lalu kerana tidak boleh bernafas secara normal, ekoran penyakit paru-paru bengkak dan berair yang dideritai selama 14 tahun menjadi semakin kronik.
Berkongsi derita ditanggung kepada Utusan Malaysia, bapa tunggal tiga anak itu berkata, dia sudah bertahun-tahun tidak bekerja dijaga anak bongsu yang baru tamat sekolah, selain mengharapkan belas ihsan saudara serta jiran untuk hidup.
“Selama lima tahun ini, saya tidur di atas kerusi sandar bersama mesin ini kerana tidak mampu beli katil khas. Sama ada keluar masuk tandas, atau mandi sekalipun saya perlu mengusungnya.
“Saya perlukannya setiap masa supaya dapat terus bernafas,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan disampaikan Pengerusi Pertubuhan Cakna Bantu Rakyat Pasir Puteh, Mohd. Nizam Che Mohd. Ali di rumahnya di Kampung Pauh Butut, di sini semalam.
Kata Azhar, oxygen concentrator itu disewa daripada farmasi dengan bayaran RM200 sebulan dan sepanjang tempoh lima tahun menggunakannya, kos tersebut ditanggung adik beradiknya, biarpun keluarga mereka sendiri hidup sekadar cukup makan.
“Akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan, mata pencarian adik beradik saya yang bekerja kampung terjejas hinggakan bayaran sewa mesin jadi tertunggak berbulan-bulan. Mujur pemilik farmasi itu tidak berkira sangat.
“Saya sekarang dijaga anak bongsu, Aidil Eyzhan dan menumpang di rumah milik kakak saya. Dua lagi anak tinggal bersama bekas isteri. Kami bercerai disebabkan saya menghidap penyakit ini, 14 tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Aidil Eyzhan, 20, berkata, selepas menamatkan pengajian di peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dia terpaksa melupakan dulu hasrat untuk menyambung pelajaran demi menjaga bapanya.
Namun kata bekas penuntut Maahad Yakubiah Bachok itu, dalam masa sama, dia juga tidak dapat keluar mencari kerja kerana bapanya memerlukan bantuan orang lain jika mahu bergerak memandangkan oxygen concentrator tersebut besar dan berat.
“Ketika masih bersekolah, saya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM100 sebulan yang kemudian digunakan untuk sara hidup kami berdua. Selepas tamat sekolah tahun lalu, bantuan itu sudah dihentikan.
“Buat masa ini, kami amat memerlukan katil khas dan mesin pernafasan baharu untuk ayah, selain bantuan kewangan untuk bayar rawatan susulan dan tambang ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dua kali sebulan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Aidil Eyzhan di talian 0199676478 atau terus menyumbang kepada akaun 2006631000096353 atas nama Azhar Mahmud. -UTUSAN ONLINE