KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang rebah ketika berjoging di kawasan tempat letak kereta di Kompleks Sukan Likas pagi semalam disahkan meninggal dunia.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa Hasmin Usup,55, dipercayai rebah secara tiba-tiba dan orang awam yang menyedari kejadian itu terus membuat panggilan kecemasan di talian 999.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik Hospital Queen Elizabeth II (HQEII).
“Berdasarkan siasatan, tiada sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan sebagai punca kematian mangsa.
“Mayat mangsa dirujuk ke Jabatan Forensik HQE untuk menjalani prosedur ujian saringan Covid-19 sebelum dibedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mohd Zaidi berkata, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). – UTUSAN ONLINE