LANGKAWI: Lokas-lokasi tumpuan pelancong di Pulau Langkawi terus bersih dan pengunjung gembira dengan pusat peranginan yang mula dibuka kepada orang ramai pada 16 September lalu.
Seorang pengunjung dari Melaka, Muhammad Nabihan Abu Bakar, 30, berkata, kawasan Pantai Chenang bersih, sesuai dengan reputasinya sebagai kawasan tumpuan pelancong seluruh dunia.
“Ada banyak tong sampah disediakan di sini untuk memastikan pelancong membuang sampah di tempat sepatutnya.
“Bila tengok pantai bersih, nak mandi dan beriadah pun rasa seronok,” katanya ketika ditemui hari ini.
Seorang pemilik rumah tamu Langkawi Country Lodge di Pantai Chenang, Norhayati Abdullah berkata, pihak berkuasa tempatan sering melakukan kerja-kerja pembersihan di sekitar pantai.
Katanya, kebanyakan pelancong juga mengambil tanggungjawab menjaga kebersihan di lokasi tempat mereka bersantai.
“Bagaimanapun, saya bimbang keadaan Pantai Chenang yang akan bertukar menjadi kotor apabila jumlah kehadiran pelancong bertambah selepas ini,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pelancong dari Pulau Pinang, Idris Ismail, 41, ketika ditemui di Dataran Lang di sini berkata, dia kagum dengan tahap kebersihan pulau ini berbanding pulau-pulau peranginan lain di negara ini.
“Saya dapati banyak kemudahan tong sampah disediakan dan pekerja pembersihan juga sering melakukan kerja-kerja pembersihan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat E-Idaman, Erni Nerina Awang Salleh berkata, jadual kutipan sampah oleh E-Idaman ditambah sebaik gelembung pelancongan dilaksanakan.
“Kutipan sampah kini dibuat dua kali sehari pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad terutamanya bagi kawasan tumpuan pelancong dan kawasan perniagaan.
“Sebelum ini kutipan sampah di sekitar Langkawi dilakukan sekali sahaja pada setiap hari dan ditambah kepada dua kali selepas pulau ini dibuka kepada pelancong,” katanya.
Beliau menambah, pihaknya meminta orang awam melaporkan kepada pihak Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) sekiranya ada kawasan yang memerlukan kutipan tambahan.-UTUSAN ONLINE