KOTA KINABALU: Pintu masuk Sky bridge ke pusat beli belah Centre Point Sabah (CPS) dijangka dibuka dalam tempoh enam bulan lagi.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Noorliza Awang Alip berkata, pintu masuk ketujuh ini merupakan satu-satunya pintu masuk yang belum dibuka kepada orang awam.
Beliau berkata, semasa fasa pembinaan, pengurusan pusat beli belah itu menyatakan hasrat untuk membina sendiri tangga dan laluan masuk dalam tempoh enam bulan selepas pembangunan jejantas Sky bridge siap sepenuhnya.
“Malah, dalam akujanji yang dikeluarkan oleh CPS juga menyatakan mereka akan menanggung sendiri kos pembinaan berkaitan.
“Secara keseluruhannya jejantas Sky bridge dilengkapi dengan kemudahan jejantas berbumbung, tangga bergerak, dua lif untuk Orang Kelainan Upaya (OKU), 20 kiosk perniagaan berhawa dingin dan kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jejantas Sky bridge sepanjang 400 meter ini adalah sebahagian daripada projek Sky Bridge pejalan kaki dan kerja-kerja penambahbaikan trafik bernilai RM31.5 juta yang merangkumi pembaikan jalan raya, lintasan pejalan kaki dan laluan pejalan kaki berbumbung.
Jejantas ini mula dibina pada 1 April 2017 dan dijangka siap enam bulan kemudian namun, kerja-kerja pembinaan terbengkalai selepas pemaju diisytiharkan muflis pada 2018.
Pada awal tahun ini, kerajaan negeri memberikan peruntukan tambahan RM4.7 juta bagi menyiapkan sepenuhnya jejantas ini dan ia dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Jumaat lalu dan dibuka kepada umum sejak semalam.
Jejantas Sky bridge ini menghubungkan laluan pejalan kaki berbumbung menuju ke beberapa pusat beli belah iaitu Oceanus Mall, Api-Api Centre, Warisan Square dan Kompleks Asia City. -UTUSAN ONLINE