Lagi kampung Orang Asli di Cameron Highlands kena PKPD - Utusan Malaysia

Lagi kampung Orang Asli di Cameron Highlands kena PKPD

KAMPUNG Kuala Boh di Cameron Highlands antara lokaliti terbaharu dikenakan PKPD. - Foto media sosial
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tidak sampai tiga hari, sebuah lagi perkampungan masyarakat Orang Asli di Cameron Highland, Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula lusa hingga 13 Oktober depan.

 

 Kawasan tunggal dikenakan PKPD itu ialah Kampung Orang Asli Kuala Boh di Pos Menson dalam Mukim Ulu Telom yang berhampiran ladang teh Boh dan dihuni lebih 500 penduduk dari kalangan etnik Semai.

 

Setakat pagi ini, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang merekodkan ada dua kes positif Covid-19 hasil saringan kontak bergejala susulan kemunculan Kluster Kampung Leryar yang berjiran.

 

Sebelum itu, pada Sabtu lalu, Kampung Telimau di mukim tersebut telah diwartakan PKPD, manakala tiga lagi perkampungan yang berhampiran turut dilaksanakan semula buat kali kedua meliputi Kampung Sungai Kabuk, Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai Chohong dalam mukim sama ekoran kematian kes indeks serta lonjakan baharu akibat kluster komuniti.

 

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, cuma satu lokaliti di negara ini yang sepatutnya berakhir PKPD esok, tetapi disambung lagi 14 hari bermula Khamis ini iaitu Kampung Tementong, Daerah Lipis, Pahang.

 

Perkampungan Orang Asli suku kaum Bateq yang sepenuhnya beragama Islam itu didiami hampir 300 orang penduduk dan wabak dipercayai akibat kluster komuniti sejak 7 September.

 

Namun Rodzi memaklumkan dua lokaliti di negeri itu ditamatkan PKPD serentak esok seperti dijadualkan iaitu Kampung Badong Dalam dan Kampung Permatang Durian, Daerah Pekan selain di Kelantan iaitu Kampung Bahagia, Mukim Batu Mengkebang, Jajahan Kuala Krai sejak dikenakan PKPD pada 16 Spetember lalu.

 

Di Sabah, ia meliputi Perumahan Ladang Boustead, Telupid; Kampung Nuntunan, Keningau; Kampung Lungkidau, Ranau; serta Kampung Pinatau dan Kampung Kirangawan, Kota Marudu. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN