LABUAN: Kementerian Pendidikan akan mengambil kira situasi semasa di wilayah ini dalam menyusun kerangka pembukaan semula sekolah menjelang 3 Oktober ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, memandangkan Labuan satu-satunya wilayah di negara ini yang berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) maka, kementeriannya kan mengambil kira segala pandangan yang diberi agensi berkaitan di sini dalam menyusun kerangka yang diperlukan.
“Labuan satu-satunya berada dalam Fasa 4 dan hampir semua sektor telah dibuka dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Maka, kita ingin melihat bagaimana sektor pendidikan dapat dibuka dalam keadaan selamat.
“Apabila kita mahu membuka semula sekolah nanti, kita akan membuka (sekolah) mengikut fasa.
“Mungkin pada 3 Oktober nanti, beberapa negeri sudah berada dalam Fasa 4 jadi, kita datang sini dahulu,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Radzi berkata, beliau sudah bertemu dengan Pengarah Kesihatan Labuan, Dr. Ismuni Bohari, Pengarah Eksekutif Perbadanan Labuan dan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Labuan bagi menjelaskan tentang cadangan kementeriannya di samping, mendapatkan input dan pandangan daripada semua agensi berkenaan.
Jelas beliau, pandangan agensi-agensi ini penting bagi memastikan segala kaedah yang kementerian cadangkan dapat dilaksanakan dengan baik.
“Kita akan mendapatkan sokongan semua pihak bagi memastikan anak-anak kita dapat kembali ke sekolah dalam keadaan selamat,” katanya.
Sebelum ini, Radzi memaklumkan sesi persekolahan secara bersemuka akan tetap dilaksanakan pada 3 Oktober ini namun, ia tidak akan melibatkan negeri-negeri yang masih berada di dalam Fasa 1 PPN. – UTUSAN ONLINE