SHAH ALAM: Tidak tahu atau bimbang dijangkiti mungkin jadi sebab tanah perkuburan Islam yang dikhaskan untuk pengkebumian jenazah mangsa Covd-19 masih lengang walaupun kerajaan sudah membenarkan waris ahli keluarga ke situ..
Tinjauan Utusan Malaysia di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Klang dan Seksyen 21, di sini mendapati, tiada kehadiran waris dikesan bagi menziarahi tanah perkuburan ahli keluarga mereka.
Malah, di Seksyen 21, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) belum menanggalkan kain rentang makluman larangan ziarah tanah perkuburan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mungkin itu juga boleh menjadi faktor tiada ahli keluarga datang ke sana.
Seorang penggali kubur, Norazlan Saiful berkata, tidak ramai orang hadir di Tanah Perkuburan Seksyen 21 sejak Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak membenarkan mereka berbuat demikian pada sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.
“Ada lebih kurang dua atau tiga keluarga sahaja yang datang. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa kerajaan sudah benarkan mereka menziarahi ahli keluarga yang dikebumi di sini,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad memaklumkan, kerajaan hanya melarang menziarahi kawasan tersebut pada musim perayaan seperti semasa Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.
Makluman itu menarik perhatian ramai susulan terdapat pertikaian terhadap tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menziarahi pusara kedua ibu bapanya 28 Ogos lalu, dekat Tanah Perkuburan Islam Lubuk Kawah di Temerloh, Pahang
Bagaimanapun, Rodzi meminta orang awam supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti amalan penjarakkan sosial serta sentiasa memakai pelitup muka.
Sementara itu, seorang penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Faizal Idrus berkata, kebanyakan jenazah yang dikebumikan adalah mangsa Covid-19 mungkin menjadi salah satu faktor waris mereka tidak berani datang ke situ.
“Mungkin ada antara mereka mempunyai stigma bahawa virus Covid-19 masih terapung di ruang udara kawasan perkuburan ini. Seperti juga di Shah Alam, boleh dikatakan hanya dua atau tiga keluarga sahaja yang hadir ke sini,” ujarnya.
Sebagai rekod, tanah perkuburan Islam di Seksyen 21 dan Selat Klang dikhaskan sebagai kawasan pengebumian jenazah Covid-19 menerusi pengurusan secara berpusat seperti diumum Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Julai lalu.
Selain di sana, sebuah lagi Tanah Perkuburan Islam di Johan Setia, Klang turut dijadikan sebagai kawasan pengebumian jenazah Covid-19 berikutan keluasan di Selat Klang semakin berkurangan. -UTUSAN ONLINE