PUTRAJAYA: Tiga jenis haiwan ternakan domestik tempatan merekodkan kejatuhan dari segi bilangan di seluruh negara sepanjang 2020 berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Menurut Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPV) menerusi laporan perangkaan tahunan yang baru diterbitkan semalam, khinzir adalah paling teruk mencatatkan kemerosotan signifikan dengan sejumlah 1,876,029 ekor haiwan tersebut yang diternak tahun lalu berbanding sebelumnya iaitu sebanyak 1,888,460 (2019), 1,967,538 (2018), 1,849,351 (2017) dan 1,654,381 (2016).
Tidak ketinggalan merosot ialah bebiri apabila agensi itu merekodkan sejumlah 121,173 ekor tahun lepas berbanding 121,677 (2019), 128,298 (2018), 130,658 (2017) dan 138,479 (2016).
Sementara kerbau juga berkurangan diternak di negara ini apabila mencatatkan 100,242 ekor pada 2020 daripada 101,695 (2019), 106,988 (2018), 114,013 (2017) dan 119,133 (2016).
Bagaimanapun, ternakan kambing menunjukkan pemulihan dengan 320,203 ekor pada tahun lalu berbanding hanya 312,571 (2019), 359,200 (2018), 385,304 (2017) dan 415,529 (2016).
Begitu juga lembu yang kembali mula banyak diternak balik sepanjang tahun lepas iaitu 659,317 ekor daripada cuma 657,407 (2019), 676,686 (2018), 703,832 (2017) dan 737,827 (2016).
Dari segi negeri, Perak kekal paling tinggi untuk ternakan babi, manakala Kelantan pula banyak bebiri, sementara Pahang mendominasi lembu serta Sabah menguasai kambing dan kerbau.
Dalam pada itu, JPV turut melaporkan peningkatan besar ternakan ayam pada tahun lalu sebanyak 300,145,315 ekor berbanding cuma 285,063,636 ekor sepanjang tahun sebelumnya.
Trend sama juga dicatatkan untuk itik apabila sejumlah 9,628,617 ekor telah diternak di seluruh negara sepanjang tahun lepas berbanding hanya 9,376,456 ekor pada tahun sebelum itu.
Senario serupa turut berlaku untuk ternakan unggas lain antaranya burung puyuh dengan sebanyak 2,483,308 ekor diternak di negara ini berbanding cuma 2,409,564 ekor pada 2019 lepas, manakala ayam belanda pula merekodkan peningkatan kecil diternak di negara ini dengan mencatatkan sebanyak 9,289 ekor pada tahun lepas berbanding hanya 8,245 ekor sepanjang 2019 lalu.
Agensi berkenaan turut memaklumkan bahawa Johor terus unggul apabila muncul sebagai negeri yang paling banyak ternakan ayam manakala Perak pula tertinggi untuk ternakan itik, malah, Johor juga dikenal pasti JPV sebagai negeri yang paling tinggi ternakan burung puyuh di negara ini, sementara Pulau Pinang pula menguasai ternakan ayam belanda. -UTUSAN ONLINE