JERANTUT: Pengusaha Durian Musang king terkejut dan kecewa melihat sebahagian tanaman itu musnah apabila kawanan kerbau liar menceroboh kebunnya di Sungai Salan, dekat sini hari ini.
Pengusahanya, Mohd. Hanif Abdullah, 28, berkata, kerbau liar antara lapan hingga 10 ekor itu dipercayai menceroboh kawasan tanaman pada awal pagi hari ini dan petang semalam ketika dia tiada di kebun.
“Saya dapati enam batang pokok musang king daripada 30 batang pokok yang ditanam di kawasan berbukit kebun ini seluas 0.4 hektar musnah termasuk beberapa batang anak pokok pisang.
“Perasaan saya tentunya amat kecewa dan tertekan kerana tanaman musang king sudah berusia dua tahun lebih dan mencapai ketinggian hampir dua meter dimakan pucuk dan daunnya, kemudiannya dahan dipatahkan serta pokok tumbang,” katanya di Sungai Salan dekat sini hari ini.
Menurut Mohd. Hanif, dia yang mengusahakan kebun milik keluarganya seluas 15 hektar yang ditanam 600 batang kelapa sawit dan pisang mula bimbang ancaman kerbau liar kemungkinan berterusan memandangkan masih terdapat antara 20 hingga 30 ekor haiwan liar itu berkeliaran berdekatan kebunnya.
Selanjutnya bapa kepada dua orang anak itu mengeluh, dia tidak tahu hendak mengadu kepada siapa tentang kerugian yang ditanggung setelah mengeluarkan belanja yang banyak membersihkan tanah, pengurusan tanaman termasuk membina pagar kebun yang sebahagiannya sudah rosak dilanggar haiwan itu.
“Saya tidak tahu siapa pemilik kerbau liar ini yang kerap menyeberang anak Sungai Salan sebelum menceroboh ke kebun durian musang king ini.
“Fenomena kerbau liar ini amat membimbangkan kerana haiwan ini akan datang semula dan menceroboh ini ketika saya tiada di kebun,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE