Kerajaan susun langkah tambah baik sistem pendidikan negara - Utusan Malaysia

Kerajaan susun langkah tambah baik sistem pendidikan negara

poster RMK-12
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Kerajaan akan menyusun beberapa langkah untuk menambah baik sistem pendidikan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antaranya pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) akan diperkukuh bagi menyediakan murid dengan perubahan teknologi termasuk 4IR.

“Persekitaran sekolah akan dijadikan lebih kondusif melalui penggantian 148 bangunan daif dengan kos berjumlah 1.6 bilion ringgit pada tahun 2021 dan 2022.

“Selain itu, sebanyak empat kompleks sekolah dan lima buah sekolah baharu akan dibina melibatkan kos 848 juta ringgit,” katanya.

Tambah beliau, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan diperkasa dengan menambah baik ekosistem serta meningkatkan kualiti program melalui akreditasi.

“Pengiktirafan dan pensijilan badan bertaraf antarabangsa akan dilaksanakan serta memperkenalkan sistem penarafan institusi TVET. Platform berpusat bagi data penawaran dan permintaan TVET akan dibangunkan,” ujarnya.

Katanya, sistem pendidikan tinggi yang lebih fleksibel akan diwujudkan dan kerjasama dengan industri dipertingkat bagi menambah baik kualiti graduan dan memenuhi keperluan industri.

Dalam pada itu, pelan pendidikan digital pada peringkat sekolah dan pengajian tinggi akan diperkenalkan bagi memastikan akses yang lebih luas kepada pendidikan yang berkualiti dan
menaik taraf kemudahan beberapa universiti awam, antaranya UiTM, UKM, UM, USM dan UUM.

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-12, kerajaan akan memastikan lebih banyak pekerjaan yang berkemahiran tinggi diwujudkan melalui pelaksanaan inisiatif berikut, menarik lebih banyak pelaburan baharu yang berteknologi tinggi, menggalakkan industri beralih kepada automasi dan mekanisasi, mengehadkan kemasukan pekerja asing berkemahiran rendah; dan memperkukuh kolaborasi antara industri dan akademia,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN