Kerajaan sedia pertimbang bina sekolah sukan OKU - Utusan Malaysia

Kerajaan sedia pertimbang bina sekolah sukan OKU

AHMAD Faizal Azumu (kiri) beramah-mesra bersama atlet memanah paralimpik negeri Perak ketika melawat Pusat Latihan Memanah Para di padang Jabatan Veterinar negeri Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan untuk membina sekolah sukan pertama bagi orang kurang upaya (OKU) seperti yang dicadangkan oleh Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

 

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya menyambut baik cadangan Ras Adiba yang mewakili golongan OKU di Dewan Negara dalam memperkasakan golongan itu dalam sukan.

 

“Kita ucapkan terima kasih di atas saranan Ras Adiba untuk kita memikirkan untuk membuka satu sekolah khas bagi pembangunan sukan atlet para.

 

“Ini satu cadangan yang amat baik, kita perlu perhalusi dan akan terus mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan, kita mendoakan agar ia dapat jadi kenyataan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Latihan Memanah Para Negeri Perak di Padang Jabatan Veterinar Negeri Perak di sini, hari ini.

 

Menurut Ahmad Faizal, kementerian beliau juga berharap pembinaan sekolah sukan OKU  dapat direalisasikan.

 

Beliau berkata, ini dapat memberi inisiatif yang lebih baik kepada sukan para selain dapat berkembang kerana golongan OKU mampu mengharumkan nama negara dipersada dunia.

 

“Kementerian sentiasa mengadakan program-program rentas kementerian.

 

“Apa juga yang kita lakukan melalui perkembangan belia ataupun juga sukan, kita libatkan juga aktiviti dan program bersama dengan kementerian lain,” katanya.

 

Sebelum ini, Ras Adiba menggesa kerajaan  melipatgandakan usaha memperkasa serta membangunkan OKU dalam bidang sukan selaras dengan komitmen dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

 

Dalam kenyataannya, Ras Adiba turut menggariskan beberapa cadangan kepada KBS untuk memastikan golongan berkenaan terus cemerlang di dalam sukan dan antaranya cadangannya adalah etlik elit pekak diterima masuk ke program Majlis Sukan Negara (MSN).

 

Ras Adiba turut mencadangkan  pembinaan sekolah sukan pertama bagi OKU, penyediaan kemudahan sokongan seperti fisioterapi dan sokongan dana, memastikan fasiliti dan kemudahan mesra OKU di stadium, kompleks sukan dan padang serta memberi peluang atlet para yang tidak lagi beraksi menjadi jurulatih. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya