Kerajaan kenal pasti pesara terima pencen bawah garis kemiskinan - Utusan Malaysia

Kerajaan kenal pasti pesara terima pencen bawah garis kemiskinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan memuktamadkan penyelesaian terhadap pesara kerajaan yang menerima pencen kurang daripada paras garis kemiskinan iaitu RM2,208 sebulan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, ini kerana golongan pesara itu terpaksa bekerja semula kerana wang pencen mereka tidak mencukupi untuk menampung kehidupan mereka.

“Kakitangan awam selepas berkhidmat secara minimum 300 bulan atau 25 tahun, sejak 2018, pencen terendah adalah RM1,000 sebulan. Contohnya, sebelum 2013 pencen paling rendah adalah RM720 jadi sejak 2018 yang pencen terendah tidak lagi RM720 tetapi RM1000.

“Tapi bagi mereka yang segelintirnya kurang pendapatan garis kemiskinan iaitu RM2,208 sebulan, mereka mungkin terpaksa bekerja kerana perlu memenuhi keperluan kehidupan.

“Itu satu perkara yang sedang difikirkan dan sebenarnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dah buat satu kajian dan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri sebelum dibuat memorandum Jemaah Menteri untuk melihat kembali bila mereka pencen, mereka agak selesa,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak berancang untuk menaikkan bayaran pencen bagi pesara B40 buat masa ini.

“Sejujurnya, ada Covid-19 atau tak ada Covid-19 pun, pesara staf kerajaan memang tiap-tiap tahun naik bayaran pencennya sebanyak dua peratus sejak 1 Januari 2013, jadi kalau nak naik lebih dua peratus, perlu satu kajian mendalam ekoran Covid-19,” katanya.

Beliau menjawab soalan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) sama ada kerajaan akan menaikkan bayaran pencen bagi golongan B40 selaras dengan kos sara hidup yang tinggi dan ramai yang kehilangan sumber pendapatan di kala pandemik ini.

Kasthuriraani bagaimanapun mendakwa, beliau mendapati ada seorang penerima pencen menerima RM679 sebulan, bukanlah RM1000 sebulan.

“Saya difahamkan ada kategori-kategori tertentu tetapi kita tak boleh nafikan bahawa golongan ini memang rentan kerana menerima pencen sangat sedikit. Pada masa ini, cabaran mereka lebih besar daripada pesara kerajaan baru bersara, mereka ini lebih tua, lebih 60 tahun dan dalam golongan B40,” katanya.

Namun, Abdul Latiff berkata, setiap pencen yang diberikan mempunyai hadnya bergantung kepada tempoh persaraan individu tersebut.

“Bagi penjawat awam, dia akan dapat pencen sepanjang hidup, bila dia meninggal dunia, isterinya akan mendapat manfaat, tetapi pencen itu ada hadnya, kalau lebih 15 tahun, bayaran akan jadi perlahan dan dikurangkan, tetapi ini adalah satu kes terpencil.

“Walaubagaimanapun, kita akan tengok balik kerana orang yang bekerja dengan kerajaan dapat layanan balik tapi kerajaan bagi lebih banyak faedah kepada tanggungannya, tak banyak negara yang buat macam kita,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya