Kementerian Wilayah Persekutuan tekad bantu gelandangan ubah hidup - Utusan Malaysia

Kementerian Wilayah Persekutuan tekad bantu gelandangan ubah hidup

JALALUDDIN Alias memperkatakan sesuatu kepada Shahidan Kassim sewaktu meninjau projek kebun bandar Hijrah Warrior di Kuala Lumpur. – Foto ihsan Jalaluddin Alias
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan memberi jaminan tidak meninggalkan mana-mana kumpulan rakyat susah di Kuala Lumpur termasuk gelandangan ibu kota.

Menurut timbalan menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias, usaha golongan itu dalam bidang pertanian bandar amat dikagumi dan pihaknya komited mahu mengubah masa depan hidup mereka.

“Ini termasuklah golongan gelandangan atau mereka tiada rumah, bahkan melalui usaha pihak kementerian, kita komited mahu ubah kualiti dan masa depan hidup mereka,” jelasnya.

Beliau berkata menerusi kenyataan sebagai mengulas program tinjauan Menterinya, Datuk Seri Shahidan Kassim dengan dirinya sendiri menyantuni kelompok itu di ibu negara hari ini.

Mereka turut melawat projek kebun bandar Hijrah Warrior di tanah seluas 7,618 meter persegi bersebelahan Pusat Transformasi Gelandangan yang kini dikenali sebagai Anjung Kelana.

Seramai 64 individu ditempatkan menerusi Program Bantu Gelandangan 2.0 hasil inisiatif pihak kementerian tersebut dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak awal tahun ini.

Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, program keusahawan seperti Hiliran Anjung Kelana dan Hijrah Warrior Mart antara usaha kerajaan menaik taraf golongan itu agar mampu berdikari.

“Mereka dapat jual hasil produk kebun bandar diusahakan sendiri antaranya timun, pisang, nanas, kangkung, keledek, sawi dan sebagainya yang boleh dituai dalam jangka masa pendek.

“Malahan mereka ini juga belajar menjadi usahawan dalam beberapa bidang kemahiran yang mampu menjana pendapatan lebih baik untuk menyara diri sendiri,” jelasnya penuh optimis.

Berdasarkan pemerhatian beliau, program dilaksanakan kementerian berkenaan mampu berjaya sebagai suatu inisiatif pembangunan modal insan kepada golongan gelandangan bandar.

Dalam nada amat yakin, beliau mengimpikan supaya bandar raya Kuala Lumpur kelak dapat mencipta ramai tokoh usahawan berjaya yang asalnya dilahirkan daripada kelompok tersebut.

Pada masa sama beliau menyeru kepada semua pihak agar saling membantu dalam semangat Keluarga Malaysia demi menjayakan Keluarga Wilayah yang prihatin serta mapan.

Anjung Kelana beroperasi sejak 1 Mac lalu susulan kejayaan Anjung Singgah di Jalan Pahang, Kuala Lumpur sebagai program berkembar dengan tumpuan khas kepada pertanian bandar.

Peserta disaring ketat sebelum dipilih oleh DBKL untuk menerima bimbingan latihan daripada Persatuan Kebajikan Golongan Asnaf dan Gelandangan Kuala Lumpur dan Selangor. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya