Kelindan maut, lori rempuh lori - Utusan Malaysia

Kelindan maut, lori rempuh lori

SEORANG maut dalam kejadian nahas di kilometer 219.9 Lebuh Raya Utara Selatan (arah Utara) di Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang kelindan maut manakala pemandunya cedera selepas lori dinaiki merempuh sebuah lori lain membawa muatan makanan ringan di kilometer 219.9 Lebuh Raya Utara Selatan (arah Utara) di sini, kelmarin. 

 

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa, Ahmad Lotfi Mohamad, 41, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di perut dan kaki manakala rakan sekerjanya yang terselamat kini mendapat rawatan di Hospital Seremban.

 

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa yang menaiki lori tanpa muatan jenis Hino itu dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur. 

 

“Setiba di lokasi, lori dinaiki mereka telah hilang kawalan dan merempuh bahagian belakang sebuah lori lain jenis Mercedes Benz di lorong paling kiri yang membawa muatan bekalan makanan ringan dari Melaka ke Perak. 

 

“Akibat rempuhan itu, kelindan mengalami kecederaan parah di perut serta kaki manakala pemandu terselamat dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Seremban,” katanya dalam kenyataan.

 

Jelasnya, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan dengan bantuan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemeriksaan lanjut pegawai penyiasat di lokasi mendapati, kemalangan berlaku di jalan lurus dan dalam keadaan cuaca tidak hujan. 

 

“Setakat ini, kemalangan dipercayai berlaku atas kegagalan mengawal kenderaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

 

“Mayat mangsa juga telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya