Kanak-kanak hilang dari kereta ditemukan lemas - Utusan Malaysia

Kanak-kanak hilang dari kereta ditemukan lemas

ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemukan kira-kira satu kiometer daripada kawasan kejadian di Sungai Jempol di Maran, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan yang hilang ketika dibawa bapanya ke ladang kelapa sawit di Felda Jengka 4 ditemukan lemas di Sungai Jempol di sini hari ini.

 

Mayat mangsa, Muhammad Abdullah Saiful Bahari ditemukan kira-kira pukul 10.37 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat.

 

Sebelum kejadian, mangsa bersama kakak dan abangnya yang berusia lapan dan enam tahun berada dalam kereta sebelum mangsa hilang tanpa disedari. 

 

Ketua Balai Bomba Jengka, Raja Mohd. Arif Raja Shamsuddin berkata, mangsa mengikut ayahnya, Saiful Bahari Md. Isa dan datuknya membuat pondok dalam ladang berhampiran Sungai Jempol.

 

”Mayat mangsa yang dalam keadaan tenggelam ditemukan tersangkut pada reba kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

 

“Mayat yang dalam keadaan sempurna dan baik itu telah dibawa naik dan diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke hospital,” katanya di sini. hari ini.

 

Menurut Raja Mohd. Arif operasi mencari dan menyelamat mangsa dimulakan petang semalam melibatkan bomba, polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk kampung sebelum ditangguhkan serta disambung semula hari ini.

 

Sementara itu Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd. Rahman berkata, berdasarkan siasatan awal, ayah mangsa menyedari kehilangan mangsa pada pukul 1 petang apabila mangsa tiada di dalam kereta.

 

Katanya, kakak dan abang mangsa yang berada di dalam kereta tidak menyedari mangsa keluar daripada kereta dan semasa kejadian pintu kereta berkenaan terbuka.

 

“Ayah mangsa bersama anaknya telah mencari mangsa di kawasan sekitar dan menemui kesan tapak kaki kanak-kanak di tepi sungai berhampiran tempat tersebut.

 

“Ayah mangsa yang mengesyaki mangsa terjatuh ke dalam sungai kemudiannya telah meminta bantuan orang kampung untuk mencari mangsa,”ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya