Kampung terlibat tragedi kepala air selamat didiami - Utusan Malaysia

Kampung terlibat tragedi kepala air selamat didiami

ABDULLAH Sulaiman menunjukkan peta kawasan kejadian tanah runtuh dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai, Yan ketika ditemui di Alor Setar semalam. – UTUSAN/ZAID MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mendapati kawasan kampung yang terlibat dengan tragedi kepala air di Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu masih selamat untuk didiami penduduk.

Pengarah JMG Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Abdullah Sulaiman berkata, hasil siasatan awal, pihaknya mendapati kampung terlibat klasifikasi kawasan impak iaitu lokasi terkesan dalam bencana geologi itu.

Menurutnya, kampung-kampung berkenaan menerima kesan seperti limpahan lumpur dan timbunan pokok balak selepas dibawa oleh arus deras berkelajuan tinggi dari kawasan punca di puncak Gunung Jerai yang bercerun.

Katanya, siasatan awal mendapati di kawasan terlibat tidak berlaku mendapan dan tanah runtuh yang serius serta membahayakan penduduk.

“Bagaimanapun penduduk terlibat terutamanya mereka yang tinggal berdekatan sungai perlu mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku hujan lebat dan terdapat kesan pergerakan tanah serta pokok yang tegak nampak condong di kawasan gunung,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Antara kampung yang terlibat dalam tragedi tersebut ialah Kampung Perigi, Kampung Teroi Bukit, Kampung Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh, Kampung Jawa dan Kampung Setol.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor sebelum ini melaporkan kerugian harta benda dan infrastruktur kawasan yang terlibat dalam tragedi di Yan dan Kuala Muda dianggarkan RM 75 juta.

Bersandarkan maklumat yang diterima didapati sebanyak 1,732 rumah kediaman, 124 premis dan 14 pengusaha chalet pelancongan desa terkesan dalam kejadian terburuk fenomena kepala air itu.

Tragedi itu juga meragut enam nyawa penduduk selepas dihanyutkan arus deras dan ditimpa tanah runtuh.

Selain itu, Abdullah memberitahu, JMG akan mengeluarkan peta mengikut zon bahaya dan kawalan di kawasan kejadian.

Menurutnya, pada masa ini, pasukan petugas bencana masih melakukan siasatan terperinci bagi menyiapkan peta berkenaan.

Katanya, kawasan zon bahaya melibatkan kawasan punca di cerun puncak Gunung Jerai dan kawasan bahaya pula meliputi  air terjun di Titi Hayun, Seri Perigi dan Batu Hampar.

“Peta tersebut akan klasifikasi zon bahaya dan kawalan  sebelum diserahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan kerajaan negeri untuk sebarang tindakan selepas ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya