Jual air tebu teruskan hidup - Utusan Malaysia

Jual air tebu teruskan hidup

SYAH Johan Rahamad menunjukkan produk air tebu asli dan kuah rojak yang diusahakan dia ketika ini bagi meneruskan hidup ketika ditemui di Felda Semenchu di Kota Tinggi, Johor. -UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Buntu selepas diberhentikan kerja ekoran pengecilan operasi syarikat gas dan minyak, sepasang suami isteri bangkit dengan mengusahakan air tebu dan kuah rojak bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Hilang punca pendapatan tetap amat menyukarkan Syah Johan Rahamad, 38, dan isterinya, Nurhafizah Hussin, 33, apatah lagi baru menerima kehadiran cahaya mata sulung, awal tahun ini.

Namun, Syah Johan tidak mahu hanya berpeluk tubuh kerana tugasnya selaku ketua keluarga amat berat bagi menyara isteri dan anak mereka walaupun ada menerima bantuan melalui Skim Insuran Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selama sembilan bulan.

“Saya kini berniaga air tebu dan kuah rojak, manakala isteri yang menetap di Kuala Lumpur bersama keluarga mertua meniaga begedil secara atas talian untuk kelangsungan hidup kami sekeluarga.

“Mujur, ketika terdengar ura-ura mengenai pemberhentian kakitangan saya sudah rancang untuk membeli mesin tebu berharga lebih RM3,000, jadi apabila sudah tidak bekerja saya terus menjual air tebu asli tanpa apa-apa campuran.

“Selain itu, saya juga jual kuah rojak yang dibuat bersama keluarga, kami boleh pos hingga ke seluruh Malaysia, manakala setakat ini air tebu saya buat penghantaran sehingga ke Kuala Lumpur jika ada tempahan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Felda Semenchu di sini, semalam.

Tambah Syah Johan, dia pernah memohon Bantuan Sara Hidup (BSH) sebelum ini namun tidak berjaya meskipun sekarang taraf kehidupannya telah menurun kepada golongan B40.

Katanya, pelbagai usaha juga dilakukan untuk mencari pekerjaan baru namun sehingga kini masih belum menerima tawaran disebabkan kebanyakan syarikat sedang mengurangkan kakitangan.

Jelasnya, dia dan isteri masing-masing berusaha demi keluarga dan anak mereka yang masih kecil disamping memiliki komitmen seperti pinjaman bulanan rumah dan kereta yang perlu dibayar.

“Kami juga terpaksa menggunakan wang simpanan yang hanya mampu bertahan untuk setahun, selain duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikeluarkan.

“Tidak dinafikan menjual air dan kuah rojak ini memang tidak dapat seperti mana gaji ketika bekerja dahulu, namun saya perlu lakukan demi anak isteri. Bahkan sejak Ramadan dan Syawal jualan air tebu juga merudum mungkin kerana orang ramai kini lebih suka berjimat,” katanya.

Justeru, Syah Johan mengalu-alukan orang ramai yang mahu membeli produk diusahakan itu agar dapat membantu menambah pendapatannya sementara mendapat pekerjaan baru. Bagi mereka yang mahu membuat tempahan kuah rojak dan air tebu boleh hubungi Syah Johan di talian 013-815 5871. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya