JPNP pantau pembersihan hutan di Bentong - Utusan Malaysia

JPNP pantau pembersihan hutan di Bentong

TINJAUAN Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) menerusi dron mengesan aktiviti pembalakan berhampiran Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dalam kawasan Hutan Simpan Lentang di Bentong, Pahang. - GAMBAR/IHSAN PEKA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah membuat semakan berkaitan isu ditularkan pada awal bulan lalu dan mandapati kawasan dimaksudkan merupakan kawasan lesen pembersihan hutan berstatus Tanah Milik yang terletak di dalam daerah Bentong dengan keluasan 3.59 hektar.

 

Kawasan lesen yang sama itu juga pernah ditularkan pada penghujung tahun lalu berkaitan pencemaran Sungai Kenoi berhampiran sebuah resort akibat aktiviti pembinaan jalan pengeluaran ke kawasan lesen ini. 

 

Rentetan itu, JPNP mengambil tindakan untuk menghentikan sementara kerja di kawasan lesen itu bagi tujuan semakan dan siasatan lanjut.

 

Kemudiannya, pihak pelesen telah membuat permohonan untuk menyambung semula lesen dan menggunakan jalan pengeluaran yang lain iaitu jalan lama kawasan bekas lesen Projek Talian Penghantaran Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terletak dalam Hutan Simpan Lentang sebagai satu-satunya jalan alternatif ke kawasan lesen.

 

Dalam kenyataannya hari ini, JPNP berkata, jalan pengeluaran yang akan digunakan itu pernah menjadi isu kerana dikatakan sebagai punca kepada bencana kepala air yang berlaku di Kilometer 52.4 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) pada November 2015.

 

“Hasil siasatan oleh Jabatan Teknikal pada masa tersebut mendapati bencana berlaku adalah disebabkan kadar hujan yang luar biasa di kawasan Lentang. Oleh itu JPNP telah meluluskan permohonan untuk memulakan kerja pada 15 Julai lalu dan juga permit jalan yang melalui Hutan Simpan Lentang serta permit matau kepada pelesen.

 

“Semakan oleh JPNP juga mendapati pelesen telah menggunakan tanah Lesen Pendudukan Sementara (LPS) seluas 1.6 hektar adalah terletak bersebelahan kawasan lesen sebagai matau sementara, namun Pejabat Daerah dan Tanah Bentong memaklumkan lesen LPS tersebut telah tamat tempoh.

 

“Semakan oleh JPNP juga telah mendapati pelesen telah membuat bayaran untuk menyambung semula tempoh lesen LPS tersebut berdasarkan resit yang disertakan oleh pelesen kepada Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong,” katanya kenyataan itu semalam.

 

Menurut JPNP lagi, hasil semakan di lapangan yang dibuat kakitangan PHD Bentong mendapati pelesen telah siap membina jalan pengeluaran ke kawasan lesen dan telah menjalankan kerja penebangan hampir 30 peratus dalam kawasan lesen. 

 

Selain itu, menurut kenyataan tersebut, semakan juga mendapati beberapa longgok tual balak daripada kawasan lesen telah disusun di matau sementara dan juga di matau utama, bagaimanapun, kerja-kerja pengeluaran balak dari kawasan lesen Tanah Milik masih belum dilaksanakan.

 

“Pemantauan oleh JPNP mendapati pelesen mematuhi spesifikasi Jalan Hutan yang ditetapkan, cuma beberapa perkara yang perlu dibuat penambahbaikan terutama jambatan dan pembentung bagi lintasan alur air sungai sementara (bukan aliran kekal) bagi mengelakkan pencemaran dalam kawasan ini.

 

“Arahan dan pemantauan rapi kepada pelesen juga telah dibuat bagi memastikan pelesen melaksanakan tindakan pembetulan dengan segera dan penambahbaikan dari aspek penyelenggaraan jalan pengeluaran dengan lebih kerap, kerana cuaca di Bentong yang kerap hujan sejak kebelakangan ini.

 

“Secara keseluruhannya, JPNP mendapati pelesen tidak melakukan sebarang kesalahan hutan yang melibatkan jalan pengeluaran dan kawasan lesen,” katanya. 

 

Bagaimanapun kata JPNP, setelah mengambil kira beberapa faktor lain dan kepentingan awam, jabatan berkenaan membuat keputusan membatalkan lesen pemindah (Borang 5) bagi kawasan lesen berkenaan berkuatkuasa serta merta.

 

“Dalam pada masa yang sama, JPNP akan terus memantau operasi sedia ada agar semua arahan JPNP dipatuhi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN