MELAKA: Penduduk Kampung Tehel Ulu dekat sini terpaksa mengambil risiko untuk melalui jalan yang berlubang, berlopak, berlumpur dan licin setiap hari demi meneruskan aktiviti seharian.
Seorang penduduk, Mohd. Hariffin Azanam, 38, berkata, kerosakan Jalan Ladang itu mula dikesan pada November tahun lalu, selepas paras air sungai bersebelahan jalan naik sehingga mengakibatkan banjir.
Menurutnya, jalan berkenaan merupakan jalan pintas yang sering digunakan penduduk untuk ke Ulu Duyong, Bemban yang mana ia mengurangkan masa perjalanan sehingga 10 minit.
“Laluan berturap batu ini sentiasa sibuk pada waktu pagi dan petang kerana penduduk pergi dan balik kerja. Jalan ini tidak pernah rosak, tetapi limpahan air yang berlaku menyebabkan struktur tanah menjadi lembut dan mudah mendap.
“Aduan sudah dibuat kepada pihak berwajib, namun hampa tiada tindakan. Saya harap isu ini dapat diselesaikan segera bagi memberi keselesaan kepada para penduduk terutama pelajar sekolah yang akan memulakan sesi persekolahan kelak,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi terlibat, semalam.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Datuk Dr. Wong Fort Pin.
Terdahulu, Fort Pin meninjau kerosakan jalan dan berbincang dengan wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri untuk tindakan lanjut termasuk cadangan memasang lampu jalan.
Seorang lagi penduduk, Nor Fazil Mohd. Isa, 36, memberitahu, ketiadaan kerja-kerja mendalamkan dasar sungai antara faktor berlakunya banjir.
“Paras air sungai akan naik jika hujan lebat berterusan selama tiga jam. Banjir yang berlaku bukan sahaja memberi kesan kepada jalan, malah terhadap tanaman dan harta benda penduduk.
“Saya mohon kerja mendalamkan sungai segera dilakukan memandangkan sekarang sudah masuk musim tengkujuh. Semak samun yang mengganggu aliran air juga perlu dibersihkan dengan kerap dan bukannya sekali setahun,” katanya.- UTUSAN ONLINE