PETALING JAYA: Kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan mengenai tindakan undang-undang terhadap pekerja yang enggan mengambil vaksin Covid-19 dibimbangi menimbulkan tekanan mental yang sememangnya sudah berhadapan tekanan itu akibat pandemik Covid-19.
Setiausaha Agung Kesatuan Nasional Pekerja Bank (NUBE), J. Solomon berkata, amaran sedemikian yang disifatkan tidak cermat boleh menyebabkan diskriminasi tidak adil terhadap pekerja yang tidak mengambil vaksin, pemecatan tidak adil pekerja-pekerja yang tidak divaksin dan diskriminasi majikan dalam proses pengambilan pekerja.
Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan mengadakan pertemuan dengan pihak berkepentingan termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berhubung perkara itu.
“Kami berpandangan, kenyataan dan ancaman bahawa tindakan akan diambil terhadap pekerja-pekerja yang tidak mengambil vaksin adalah tidak bertanggungjawab, berasas dan bersifat diskriminasi.
“Daripada mengeluarkan kenyataan demikian, sebaliknya beliau memberi perhatian meminta majikan supaya berbincang dengan pekerja mereka mengenai masalah kesihatan, risiko dan keberkesanan vaksinasi.
“Kerajaan juga harus membincangkan pendekatan alternatif untuk mencegah penularan dan jangkitan Covid-19 termasuk mereka yang tidak mendapat vaksin atau tidak mahu mendapatkannya atas alasan peribadi dan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
3 September lalu, Utusan Online melaporkan, Saravanan berkata, pekerja yang menolak pengambilan suntikan vaksin Covid-19 boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP).
Katanya, meskipun tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan pengambilan vaksin, majikan masih boleh menggunakan undang-undang lain dari segi kesihatan dan keselamatan di tempat kerja.
Malah, apabila seseorang pekerja itu enggan divaksinasi, persekitaran tempat kerja boleh dianggap tidak selamat dan mengancam keselamatan pekerja lain.-UTUSAN ONLINE