KUALA LUMPUR: “Semangat kerjasama masih perlu terus diangkat dan bukannya sengaja memberi laluan untuk tekan-menekan secara konfrontasi yang akhirnya meniup kita ke arah kemudaratan.”
Itu penegasan dari Ketua Pemuda Sosialis DAP, (DAPSY), Howard Lee Chuan How berhubung gesaan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Wilayah Persekutuan supaya logo dan bendera PKR digunakan calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.
Howard Lee menyeru semua pihak untuk mendengar, meneliti dan akur dengan kenyataan Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penggunaan logo dan bendera pada pilihan raya.
“DAPSY menasihati supaya butir-butir keputusan seperti yang telah dimaklumkan kekal dibincangkan secara dalaman demi menjunjung kerukunan antara komponen (parti politik) yang telah terbina sekian lama.
“Selaku anggota Majlis Presiden dan juga wakil anak muda akar umbi, saya akui bukanlah semua keputusan yang dicapai boleh saya persetujui sepenuhnya.
“Tetapi, berbekalkan semangat tanggungjawab kolektif serta daya upaya untuk menurut arahan Datuk Seri Pengerusi PH untuk bekerjasama sebagai satu pasukan, kita mesti bertolak ansur dan menerima serta mempertahan keputusan jemaah dan terus mara ke depan bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MPN PKR Wilayah Persekutuan semalam dalam satu kenyataan yang ditandatangani oleh ahli Parlimen PKR, wakil pimpinan MPN, sayap Wanita, Pemuda dan 12 cabang PKR Negeri menyifatkan penggunaan logo parti itu mewakili gabungan pembangkang pada PRU-15 adalah amat tepat.
Bagaimanapun, Pemuda DAP Wilayah Persekutuan pula menolaknya dan mencadangkan supaya barisan pembangkang atas dasar kebersamaan parti di dalam PH bersepakat di belakang logo PH pada pilihan raya akan datang. Untuk rekod, parti pembangkang bersetuju menggunakan logo PKR pada PRU-14
Terdahulu, dalam webinar bertajuk Peneraju Perjuangan Rakyat: Kebersamaan UPKO Dalam Perjuangan Pakatan Harapan (PH) yang disiarkan secara langsung di Facebook, 3 September lalu, yang disertai parti-parti komponen PH, Anwar dilaporkan berkata, sebaiknya semua parti politik yang sehaluan bersepakat menggunakan satu logo sahaja pada pilihan raya umum.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berpandangan penggunaan logo tunggal diyakini berkesan untuk bertanding sekali gus memenangi kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Logo pun, secara prinsip kita sudah setuju. Dulu kita setuju terima Keadilan kerana Pendaftar tidak perakui pengesahan PH. Sekarang PH sudah diputuskan.
“Saya fikir, dalam sedikit masa ini kita akan putuskan; DAP dan AMANAH sudah setuju, Keadilan minta sedikit masa untuk menyampaikan pandangan ini kepada semua jentera parti. Kemudian kita akan bincang dengan rakan-rakan yang lain termasuk UPKO dan parti-parti pembangkang yang lain,” kata Anwar. -UTUSAN ONLINE