PETALING JAYA: Kedua-dua indeks nilai seunit eksport dan import bulanan Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 1.3 peratus pada Julai 2021 berbanding bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan itu disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+6.7 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+1.1 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (+0.5 peratus).
“Sementara itu, indeks volum eksport merekodkan penurunan 9.0 peratus pada bulan yang sama, disumbangkan oleh kejatuhan indeks pelbagai barang keluaran kilang (-22.9 peratus), barang-barang keluaran kilang (-12.0 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-7.7 peratus).
“Indeks volum eksport pelarasan bermusim turut menguncup 20.7 peratus daripada 172.8 mata kepada 137.0 mata. Berbanding tahun sebelumnya, indeks nilai seunit bertumbuh 14.3 peratus, manakala, indeks volum eksport susut 8.2 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Ujarnya, indeks nilai seunit import pula menunjukkan pertumbuhan yang sama iaitu 1.3 peratus pada Julai 2021 berbanding bulan sebelumnya.
Mohd. Uzir menjelaskan, peningkatan tersebut disumbangkan oleh pertumbuhan indeks minyak galian (+8.1 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+0.7 peratus) serta barang-barang keluaran kilang (+0.4 peratus).
Sebaliknya, tambah beliau, indeks volum import menyusut 0.8 peratus pada Julai berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (-19.1 peratus), barang-barang keluaran kilang (-13.6 peratus) dan bahan kimia (-9.8 peratus).
“Indeks volum import pelarasan bermusim pada Julai lalu mencatatkan penurunan 9.5 peratus daripada 170.6 mata kepada 154.3 mata.
“Berbanding tahun sebelum, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing meningkat 5.6 peratus dan 17.5 peratus,” katanya.
Jabatan Perangkaan turut melaporkan terma perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan kecil 0.05 peratus bulan ke bulan kepada 105.0 mata pada Julai lalu.
“Berasaskan tahun ke tahun, prestasi terma perdagangan Malaysia kekal positif 8.4 peratus daripada 96.9 mata pada Julai tahun lalu,” jelas jabatan itu. – UTUSAN ONLINE