Ibu tunggal mengaku bersalah biar anjing serang kanak-kanak 12 tahun - Utusan Malaysia

Ibu tunggal mengaku bersalah biar anjing serang kanak-kanak 12 tahun

K. SAROJA Devi mengaku bersalah atas tuduhan cuai membiarkan anjing peliharaannya mencederakan seorang kanak-kanak perempuan dalam kejadian Julai lalu selepas didakwa di Mahkamah Majistret Taiping hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Seorang ibu tunggal mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun cedera dengan membiarkan anjing peliharaannya menyerang mangsa, Julai lalu.

Tertuduh, K. Saroja Devi, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Adibah Abdul Kadir.

Berdasarkan pertuduhan, ibu kepada tujuh anak itu didakwa dengan cuai membiarkan anjing peliharaannya mencederakan kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Kampung Larut Tin Sambungan pada pukul 5 petang, 10 Julai 2021.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Faakihin Ahmad Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Hamzah.

Terdahulu, Nur Faakihin menawarkan jaminan sebanyak RM2,000 kepada tertuduh namun Siti Hajar memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM500 berikutan anak guamnya merupakan ibu tunggal yang menanggung enam anak dan hanya bekerja dengan mengambil upah sebagai tukang masak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM500 dan menetapkan 25 Oktober ini untuk laporan perubatan mangsa sebelum menjatuhkan hukuman.

Dalam kejadian pada 10 Julai lalu, mangsa cedera parah di beberapa bahagian badan akibat diserang anjing termasuk di lengan kiri dan kanan, jari tangan kiri dan kanan, perut dan lutut terkoyak.

Semasa kejadian, anjing tersebut berada di dalam rumah dengan anak perempuan tertuduh telah membuka pintu untuk keluar sebelum anjing itu keluar dan menyerang mangsa apabila dia menjerit. 

Akibat kecederaan itu, mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan. 

Haiwan tersebut telah dipelihara sejak setahun lalu dan pemiliknya tidak memiliki lesen memelihara anjing. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya