Hutan simpan: Selangor kemuka syarat kepada Gabungan Indah - Utusan Malaysia

Hutan simpan: Selangor kemuka syarat kepada Gabungan Indah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor dilapor mengenakan beberapa syarat kepada Gabungan Indah Sdn. Bhd. (Gabungan Indah) yang menerima kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) yang telah dinyahwartakan pada Mei lalu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, kesemua syarat tersebut perlu dipatuhi syarikat tersebut selaras dengan wawasan kerajaan negeri yang mahu pembangunan serta pengekalan flora dan fauna bergerak seiringan.

“Antara syarat yang dikenakan adalah melakukan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA), Kajian Impak Sosial (SIA) dan beberapa syarat lain.

“Ia termasuk pengekalan kawasan hijau sebanyak 20 peratus daripada kawasan pembangunannya serta keperluan translokasi spesies-spesies flora dan fauna yang berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-14 minggu lalu, kerajaan Selangor memaklumkan bahawa mereka meluluskan penyahwartaan 536.7 hektar HSKLU pada 5 Mei lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, meskipun penyahwartaan itu diluluskan, kerajaan negeri masih lagi dapat mengekalkan keluasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di Selangor tidak kurang dari 30 peratus.

Dalam pada itu, Ahmad Fadzil memaklumkan, pihaknya menerima cadangan menyahwarta HSKLU ini daripada Pejabat Tanah Daerah (PTD) Kuala Langat pada pada 14 November 2019.

Menurutnya, ia susulan daripada keputusan pemberian milik tanah seluas 991.9 hektar yang dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 16 Oktober 2019.

“Berdasarkan Seksyen 11 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 (Pindaan 2011), pihak berkuasa negeri boleh menyahwarta kawasan hutan simpanan kekal sekiranya kawasan itu diperlukan bagi kegunaan ekonomi yang lebih tinggi daripada kegunaan masa kini dengan syarat melalui penyiasatan awam (public inquiry) terlebih dahulu.

“Proses penyiasatan awam ini telah berlangsung selama lebih satu tahun sejak keputusan berkenaan cadangan penyahwartaan HSKLU ini diterima pada November 2019,” ujarnya.

Kata Ahmad Fadzil, kesemua bantahan yang diterima telah dikumpulkan dan diangkat ke MMKN untuk pertimbangan lanjut.

Selain itu, kerajaan negeri turut melantik pakar perunding, Upm Consultancy & Services Sdn. Bhd. (EMIS) pada tahun 2020 bagi mengkaji kawasan HSKLU yang hendak diwartakan.

“Hasil kajian mereka mendapati nilai biodiversiti HSKLU dan kawasan-kawasan gantian adalah hampir sama,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya