SHAH ALAM: Kawasan seluas 536.7 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) yang sebelum ini dinyahwarta akan kembali diwartakan kerajaan negeri Selangor.
Perkara itu diputuskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) yang bersidang hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang menyatakan, projek pembangunan bercampur seperti yang dirancang sebelum ini serta pemberimilikan tanah itu kepada syarikat terbabit, dibatalkan.
“Kerajaan negeri Selangor akan memulakan proses mewartakan semula HSKLU,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, pada masa sama kawasan gantian yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal seluas 1,436 ekar di Sungai Panjang, Ampang Pechah dan Bukit Broga akan kekal statusnya sebagai Hutan Simpan Kekal.
Terdahulu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk Orang Asli berhampiran hutan paya gambut itu membantah penyahwartaan, malah, gerakan menentang pindah milik itu sudah pun dimulakan sejak tahun lepas lagi.
Susulan itu, penyahwartaan HSKLU terus mendapat liputan meluas oleh akhbar tempatan apabila Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Ogos memberitahu kerajaan negeri menyahwartakan hutan berkenaan yang dibuat dalam MMKN pada Mei lalu.
Dalam pada itu, Amirudin dalam kenyataan turut memberitahu untuk mewartakan 42 hektar daripada jumlah keseluruhan 536.6 hektar tanah akan dinyahwarta untuk diserahkan kepada penduduk Kampung Orang Asli Busut Baru.
Tindakan itu sekaligus menyelesaikan masalah tuntutan tanah yang belum ditunaikan sejak 2006 susulan pemindahan mereka pada 1994 bagi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“104 ekar (42 hektar) akan kekal dinyahwarta bagi melengkapkan pemberimilikan tanah kepada Kampung Orang Asli Busut Baru bagi menyelesaikan isu yang tertangguh sejak tahun 2006.
“Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan sebahagian kecil lagi kawasan akan kekal nyahwarta untuk tujuan pertimbangan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan segala proses penyahwartaan sebelum ini telah mengikuti segala prosedur dan tatacara yang dinyatakan mengikut lunas undang-undang dan akan mengarahkan sidang Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan,Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) bagi menjawab sebarang isu-isu yang dibangkitkan berkenaan dengan penyahwartaan sebelum ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia meninjau keadaan HSKLU masih lagi menyimpan khazanah penting termasuk hidupan yang dilindungi seperti beruang matahari, tupai terbang serta Ikan Laga Merah Langat (Betta Livida) yang hanya terdapat di sana.
Dalam tinjauan itu juga, hutan berkenaan masih lagi menyimpan pokok hutan seperti meranti, kempas petaling dan bertam. -UTUSAN