PUTRAJAYA: Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) sedia meminta anggotanya di Sarawak untuk turut membantu pertambahan katil bagi menangani lonjakan kes positif Covid-19.
Presidennya, Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, ia susulan sejumlah 3,732 kes baharu direkodkan semalam di negeri itu dan jangkaan situasi menyebabkan kapasiti penuh penggunaan katil.
“Angka kumulatif bagi kes kategori 4 dan 5 di wad serta unit rawatan rapi (ICU) khususnya di ibu negeri, Kuching diunjurkan meningkat melebihi keupayaan,” katanya menerusi kenyataan.
Kementerian Kesihatan mempunyai sebanyak 23 buah hospital di negeri terbesar di Malaysia itu dengan Hospital Umum Kuching yang dianggap paling besar di Sarawak memiliki 765 katil, manakala sejumlah 17 buah hospital swasta dengan hampir 600 katil iaitu inisiatif kedua dilaksanakan APHM setelah Pulau Pinang pada minggu lepas.
Mengulas lanjut, Kuljit berkata, sebuah hospital swasta di Kuching yang sebahagian firma dari Semenanjung sudah menyatakan persetujuan sebaik sahaja mendapat kebenaran.
“Mereka sedia menerima pesakit yang berbayar dalam jangkaan mulai minggu depan, namun, kebanyakan hospital swasta di negeri ini agak terhad kapasiti katil termasuk di ICU,” jelasnya.
Justeru, beliau berharap pihak kementerian itu agar mungkin memindahkan para pesakit bukan Covid-19 ke fasiliti swasta bagi memberi lebih ruang bagi kemasukan pesakit wabak tersebut sebagaimana berjaya dilaksanakan di Lembah Klang apabila 3,187 pesakit dipindahkan ke hospital swasta, malah, ada lagi kekosongan 1,000 katil yang siap siaga.
Pendekatan sama juga dilakukan di Pulau Pinang sejak 10 hari lalu dan menyaksikan hospital swasta di negeri itu mampu merawat 1,325 pesakit Covid-19 yang berbayar setakat ini.
“Kami berharap usaha sebegini akan dapat dicontohi pula hospital swasta di Sarawak dalam meringankan beban keupayaan doktor kerajaan dan mengekang penularan wabak,” tegasnya yang turut memberi jaminan bahawa APHM bekerjasama rapat dengan pihak kementerian tersebut dalam perkongsian sektor awam-swasta yang sudah bermula sejak awal tahun ini lagi. -UTUSAN ONLINE