‘Hasni jangan main api, nanti terbakar diri’ - Che Zakaria - Utusan Malaysia

‘Hasni jangan main api, nanti terbakar diri’ – Che Zakaria

Che Zakaria Mohd. Salleh (kiri) menyampaikan sumbangan JKM kepada penduduk Flat 64, Bandar Baru Seri Alam, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad diingatkan agar tidak mencetuskan konflik politik baharu dengan mengeluarkan kenyataan berbaur provokasi yang tidak menghormati parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, kenyataan terbaharu Hasni yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor adalah tidak wajar.

Katanya, dalam situasi di mana semua parti dalam gabungan PN sudah ‘bertenang’, kenyataan Hasni tidak matang dan provokatif.

“Apa motif beliau mengeluarkan kenyataan seperti itu yang boleh mengeruhkan keadaan kerana ketika ini tumpuan kita bukanlah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebaliknya isu-isu rakyat .

“Hasni diingatkan supaya tidak bermain api kerana nanti akan membakar diri,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada penduduk di kawasan Flat 64, Bandar Baru Seri Alam, di sini hari ini.

Dalam temubual khas bersama Utusan Malaysia Rabu lalu, Hasni dilaporkan berkata bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor akan bertanding pada PRU15 di semua 19 kerusi DUN yang telah dimenanginya sebelum ini.

Beliau juga menegaskan tidak akan menggunakan simbol selain lambang UMNO dan simbol dacing BN.

“Ini termasuk juga kerusi kita menang tetapi berpindah ke parti lain, susah kita nak berkompromi soal itu. Mungkin ada perkara yang saya rasa boleh, tetapi untuk tidak pertahankan parti atau tidak menggunakan lambang dacing adalah sukar untuk berlaku di Johor,” kata Hasni.

Mengulas lanjut, Che Zakaria memberitahu, kenyataan Hasni boleh menggugat dan memecahbelahkan kesatuan PN di negeri ini sekali gus memberi isyarat jelas mereka tidak mahu bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor.

“Hasni tidak seharusnya bercakap besar seolah-olah tidak menghargai persahabatan dalam PN termasuk pengorbanan dan jiwa besar ditunjukkan Bersatu negeri hingga membolehkannya menjadi Menteri Besar Johor.

“Menteri Besar Johor itu tidak perlu mencabar atau menguji kesabaran pemimpin Bersatu Johor yang sudah tentu ada hadnya,” ujarnya.

Menurut Che Zakaria lagi, mungkin Hasni merasakan kedudukannya sebagai Menteri Besar sudah ‘selamat’ kerana tiada undi percaya diusulkan terhadapnya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini mendorong beliau berani mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Hasni mungkin tidak sedar atau lupa kedudukannya sebagai Menteri Besar serta kerajaan PN di negeri ini sangat rapuh dan boleh tumbang bila-bila masa jika seorang ADUN menarik sokongan terhadapnya,” jelasnya lanjut.

Kerajaan PN Johor pimpinan Hasni ketika ini mempunyai 29 kerusi DUN manakala Pakatan Harapan (PH) mempunyai 27 kerusi.

Sekiranya seorang ADUN menarik sokongan daripada PN, makan kedudukan  akan menjadikan kerusi DUN PN dan PH masing-masing 28 kerusi, sekali gus menjadikan DUN Johor tergantung atau dibubarkan.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya