Harga minyak merosot, inventori AS bertambah - Utusan Malaysia

Harga minyak merosot, inventori AS bertambah

PROSES pemulihan kilang-kilang di rantau Teluk AS dan kemudahan minyak di luar pesisir mengurangkan stok minyak mentah dan bahan api AS secara mendadak minggu lalu. - GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Harga minyak merosot ekoran peningkatan inventori Amerika Syarikat (AS) namun masih stabil apabila mengekalkan sebahagian besar kenaikan terdahulu.

Minyak mentah Brent turun 13 sen atau 0.2 peratus kepada AS$75.33 (RM313.26) setong setelah meningkat 2.5 peratus hari sebelumnya.

Minyak mentah AS West Texas Intermediate (WTI) merosot 12 sen atau 0.2 peratus kepada AS$72.49 (RM301.45), setelah ditutup 3.1 peratus lebih tinggi, kelmarin.

Stok minyak mentah dan bahan bakar AS menurun secara mendadak minggu lalu, kerana kilang minyak di rantau Teluk AS dan kemudahan minyak di luar pesisir masih dalam proses pulih daripada Taufan Ida, menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA).

Inventori minyak mentah turun 6.4 juta tong dalam kepada 417.4 juta tong, kata EIA, berbanding jangkaan dalam tinjauan Reuters iaitu penurunan hanya 3.5 juta tong.

“Data itu diambil selepas amaran Badan Tenaga Antarabangsa bahawa bekalan yang merosot ekoran ribut di Teluk Mexico akan mengimbangi keuntungan dari Pertubuhan Negara Pengeluar Petroleum (OPEC),” kata penganalisis dari ANZ Research dalam satu catatan, semalam.

Ribut itu menyebabkan penurunan bekalan global untuk pertama kalinya dalam lima bulan tetapi pasaran bakal menghampiri keseimbangan pada Oktober ketika OPEC dan sekutu seperti Rusia (OPEC+), melaksanakan rancangan untuk meningkatkan bekalan.

Namun, syarikat tenaga Teluk AS dapat memulihkan perkhidmatan dan elektrik saluran paip dengan pantas setelah Taufan Nicholas melanda Texas, memungkinkan mereka melipatgandakan usaha memperbaiki kerosakan yang lebih ketara daripada Taufan Ida.

Taufan Nicholas menyebabkan banjir kecil dan gangguan elektrik di Texas dan Louisiana, di mana beberapa kilang tidak beroperasi setelah dilanda Taufan Ida.

Ribut berkenaan sebelum ini menutup sebahagian besar pengeluaran minyak dan gas luar pesisir Teluk AS. Kira-kira 30 peratus pengeluaran Teluk AS ditutup pada Rabu, menurut Biro Penguatkuasaan Keselamatan dan Alam Sekitar. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya