Harga cili merah dan barang makanan masih terkawal di PST - Utusan Malaysia

Harga cili merah dan barang makanan masih terkawal di PST

ABDUL Razak Khasbullah menunjukkan cili merah dan lain-lain barang basah yang masih dijual dengan harga berpatutan di Pasar Segar Terkawal, Pusat Pengumpulan Hasil Ladang Teluk Panglima Garang di Kuala Langat, Selangor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Harga sayur-sayuran termasuk cili merah, halia muda dan timun di Pasar Segar Terkawal (PST) Pusat Pengumpulan Hasil Ladang (PPHL) di Jalan Waja Teluk Panglima Garang di sini masih terkawal berbanding lain tempat seperti di pasar dan pasaraya.

 

Menurut Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat, Dr. Abdul Razak Khasbullah, harga cili merah masih dijual dengan harga RM10 sekilogram.

 

“PPHL di sini sebagai pengeluar utama cili merah menjual dengan harga RM10 berbanding di pasar basah dan pasaraya antara RM12 hingga RM13 sekilogram.

 

“Berdasarkan laporan semasa pasaran sayur-sayuran di PPHL, trend harganya menurun dan tiada kenaikan ketara harga,” katanya ketika ditemui.

 

Terdahulu kenaikan harga barang basah di laporkan di beberapa negeri seperti Kedah, Kelantan, Putrajaya dan pasar basah di Klang.

 

Abdul Razak berkata, harga timun pula boleh dikatakan turun naik mengikut bekalan semasa hingga pernah mencecah 60 sen sekilogram.

 

Katanya, buat masa ini harga timun di PPHL adalah RM1.40 sen sekilogram dijual secara runcit.

 

“Kita di sini fokus menjual barang makanan seperti sayur-sayuran dan barang basah dengan harga patut.

 

“Ini bagi memudahkan penduduk sekitar yang merupakan golongan berpendapatan rendah dan sederhana mendapat bekalan bahan mentah untuk dimasak,”katanya.

 

Mengulas lanjut beliau berkata, semasa Perintah Kawalan Pergerakan pihaknya mewujudkan PST hingga kini sebagai sebahagian dasar Kerajaan Persekutuan untuk memastikan bekalan makanan sentiasa cukup semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik Covid-19. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN