REMBAU: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di atas katil di rumahnya di Taman Dato Lela Maharaja dekat sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Hazri Mohamad berkata, Badariah Md. Dahlan, 54, yang juga merupakan seorang guru ditemui tidak bernyawa di dalam bilik utama rumah berkenaan.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira pukul 8 pagi selepas seorang lelaki berusia 43 tahun menghubungi polis bagi meminta bantuan selepas Badariah dikatakan tidak keluar rumah sejak Ahad lalu.
“Lelaki berkenaan bersama jiran-jiran lain melihat pagar dan pintu rumah mangsa dalam keadaan berkunci. Mereka memanjat pagar dan mengetuk pintu rumah mangsa namun tiada jawapan.
“Bimbang dengan keadaan tersebut menyebabkan lelaki berkenaan menghubungi polis bagi tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.
Hazri berkata, hasil siasatan mendapati mangsa yang tinggal berseorangan disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan paramedik.
Menurutnya, tiada unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Mangsa dipercayai telah meninggal dunia kira-kira dua hari. Mayat di hantar ke Hospital Rembau bagi ujian calitan Covid-19 dan bedah siasat,” katanya.- UTUSAN ONLINE