SHAH ALAM: Pelantikan Prof. Dr. Roziah Mohd. Janor sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) dihargai berikutan insititusi pendidikan Melayu terbesar itu kehilangan ‘nakhodanya’, sejak Mac lalu.
Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti Awam Malaysia (Gakum) menzahirkan ucapan terima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad atas pelantikan kesemua Naib Canselor universiti di negara ini termasuk Roziah Janor.
Presiden Gakum, Zulkifli Mohammed berkata, perlantikan semua Naib Canselor di seluruh universiti diharapkan menjadi penyelesaian kepada isu utama (pelantikan Naib Canselor) kepada semua universiti.
“Pelantikan ini telah mencatat sejarah tersendiri kepada UiTM kerana mendapat Naib Canselor wanita pertama yang sangat cemerlang dalam perkhidmatan sebelum ini.
“Kami juga ingin mengucapkan tahniah dan selamat bertugas kepada Prof. T.s Dr. Roziah Mohd.Janor atas pelantikannya yang berkuat kuasa 9 Ogos lepas.
“Semoga di bawah pimpinan Roziah, UiTM terus memainkan peranannya sebagai institusi yang teramat penting dalam pembangunan agenda orang Melayu dan Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zulkifli yang juga Presiden Kakitangan Umum UiTM (KKUUITM) berjanji turut komited untuk terus bersama-sama dengan Naib Canselor serta keluarga UiTM demi meneruskan kecemerlangan UiTM ke arah menjadi Universiti Tersohor Dunia pada tahun 2025.
Katanya lagi, GAKUM sangat berharap dapat membuat pertemuan dengan Menteri Pengajian Tinggi.
“Ia bagi menyampaikan dan membincangkan isu-isu yang berlaku di semua universiti awam Malaysia pada masa kini,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Noraini mengumumkan secara rasmi pelantikan Roziah menjawat jawatan eksekutif nombor satu UiTM menggantikan Prof Emeritus Datuk Dr. Mohd Azraai Kassim yang tamat perkhidmatan pada 10 Mac lalu. – UTUSAN ONLINE