Gagal sembunyi dalam tandas, keluar tingkap - Utusan Malaysia

Gagal sembunyi dalam tandas, keluar tingkap

WARGA asing yang cuba keluar melalui tingkap biliknya ketika operasi di sekitar Seri Kembangan dan Cheras, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Taktik lapuk pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi dalam tandas dan keluar melalui tingkap bilik untuk meloloskan diri gagal apabila dicekup pihak berkuasa semalam.

  

Perkara itu dihidu Jabatan Imigresen Selangor yang menggempur beberapa kediaman dan premis perniagaan yang didiami warga asing di sekitar Seri Kembangan dan Cheras, bermula pukul 12 tengah hari.

  

Serbuan lebih lima jam itu membawa kepada penahanan seramai sembilan PATI berusia 22 hingga 43 tahun atas kesalahan Imigresen.

   

Pengarah Imigresen negeri, Mohamad Shukri Nawi berkata, operasi disertai 10 pegawai dan anggota bahagian penguat kuasa itu dilakukan hasil maklumat mengenai kewujudan warga asing di kawasan tersebut.

  

Katanya, pemeriksaan memfokuskan kepada premis perniagaan termasuk kedai makan dan pakaian, dobi serta pasar raya besar.

  

“Seramai 27 warga asing diperiksa dan sembilan daripada mereka ditahan kerana dipercayai melakukan pelbagai kesalahan Imigresen.

  

“Kesemua PATI itu terdiri daripada empat warga Indonesia, tiga Myanmar dan masing-masing satu Pakistan dan Bangladesh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Jelas Mohamad Shukri, kesemua yang ditahan dibawa ke pejabat imigresen negeri untuk tindakan lanjut.

  

“Mereka kemudian direman selama 14 hari di Depot Imigresen Semenyih bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal tanpa pas atau permit sah serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan,” ujarnya.

  

Tambah beliau, pihaknya turut akan mengesan pemilik rumah, premis perniagaan dan pelindung kepada PATI berkenaan.

  

“Jika kesalahan itu terbukti, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk didakwa di mahkamah. Justeru, warga asing yang menetap di negara ini secara tidak sah dinasihatkan segera menyertai program Rekalibrasi PATI yang dibuka hingga hujung tahun ini,” katanya.

  

Dalam pada itu, Mohamad Shukri menegaskan pihaknya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang ditetapkan bagi mengelak jangkitan pandemik Covid-19 ketika melakukan pemeriksaan.

 

“Kesemua warga asing yang ditahan turut dibawa ke klinik kesihatan untuk menjalani ujian saringan sebelum ditempatkan di depot tahanan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya