ALOR GAJAH: Kerajaan negeri mencadangkan empat bidang utama untuk pertimbangan Kementerian Belia dan Sukan bagi penawaran program pengajian baharu di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah.
Pengerusi Jawatankuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, bidang tersebut adalah mekanikal, teknologi maklumat, minyak dan gas serta teknologi hijau.
Menurut beliau, cadangan itu sebagai tambahan kepada dua bidang sedia ada iaitu hospitaliti dan elektrikal.
“Saya mohon kepada kementerian untuk mempertimbangkan cadangan ini kerana bidang-bidang ini sangat bertepatan dengan senario semasa dan menepati kehendak industri di Melaka.
“Pemain industri sudah pasti mahukan pekerja yang berkemahiran tinggi dan saya yakin IKTBN Alor Gajah dapat memenuhi hasrat ini.
“Pertambahan bidang baharu juga dapat meningkatkan jumlah kemasukan pelajar. Buat masa ini IKBTN Alor Gajah mempunyai 566 pelajar berbanding kapasiti penuh iaitu 850 pelajar. Masih banyak ruang kepada belia di luar sana untuk menyambung pengajian dan satu kerugian jika dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya selepas melawat IKTBN Alor Gajah di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah IKTBN Alor Gajah, Syamsul Tahrin Mohd. Tahir.
Tambah Mohd. Rafiq, beliau mahu pelbagai NGO di negeri ini termasuk pertubuhan belia supaya lebih peka terhadap para belia yang layak menyambung pengajian.
Katanya, para NGO boleh membantu kerajaan untuk mengenal pasti belia yang tidak mendapat keputusan cemerlang di peringkat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) untuk memohon pengajian di IKTBN.
“Tidak cemerlang semasa SPM bukan bermakna penamat kepada perjalanan pendidikan mereka. Golongan ini perlu didekati dan diberi penerangan yang jelas tentang tawaran serta manfaat apabila menyertai IKBTN,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE